Showing posts with label Buku 50 Kisah Rezeki luar Biasa Suri Rumah. Show all posts
Showing posts with label Buku 50 Kisah Rezeki luar Biasa Suri Rumah. Show all posts

Sunday, 20 May 2018

Video Majlis Pelancaran & Sesi Ramah Mesra Bersama Penulis Buku Rezeki Luar Biasa




Sayang, thanks composed kan video untuk saya simpan sebagai kenang-kenangan

Saturday, 19 May 2018

Feedback Rakan Penulis

Tek : Anys Idayu Zakaria

Untuk beberapa hari ini aku dapat jangka hati aku akan menjadi selembut tisu dan mudah tersentuh. Malam ni sahaja aku dah tersentuh dengan setiap komen dan feedback rakan penulis bila mereka mula baca kisah aku.

Nampaknya hati aku belum cukup kuat untuk membaca setiap ulasan mereka dengan tenang. Tetap ada tangis di hujung nya. Tetap rasa sedih menyinggah.

Sungguh untuk melupakan sesuatu kepahitan amat payah, walaupun ada kemanisan di akhirnya. Kuatlah hati, sebagaimana kuatnya aku melalui fasa kesedihan itu.

Hadiah Untuk Ma & Abah

Tek : Anys Idayu Zakaria

Balik dari Majlis pelancaran Buku haritu, aku hadiahkan sebuah buku ini untuk ma dan abah.

Abah pegang buku tersebut, belek-belek cari kisah yang aku tulis. Nampak ada ruangan pengenalan penulis.

Abah kata,"Wah, Kak Long letak gambar yang ini".

Ma pula belek, nampak seperti tak sabar nak mula baca kisah yang dikongsi. "Cantiknya buku, warna-warni. Ada gambar lagi".

Aku jangka ma abah sudah baca kisah yang aku kongsi. Kakak ada bercerita, "Mama, semalam nenek suruh kakak baca kisah yang mama tulis. Nenek tanya, kakak ingat ke peristiwa yang berlaku". Kakak mengiyakan.

Si Dia pula bertanya pada aku, "masih ingat lagi kisahnya. Puasa yang ke berapa. Esok dah masuk Ramadhan. Harap kisah yang ditulis tak membuatkan aku sedih".

Bila semua itu ditanya, jujur ada juga yang mengusik hati. Tapi sebenarnya apa yang dikongsi dalam buku tersebut adalah semangat dan bantuan yang datang dari Allah. Jalan keluar yang Allah tunjuk untuk aku selesaikan masalah yang dihadapi.

Aiz
Penulis Kisah 1-2, buku 50 kisah Rezeki Luar Biasa Suri rumah.

Majlis Pelancaran Buku 50 Kisah Rezeki Luar Biasa Suri Rumah

Tek : Anys Idayu Zakaria

Alhamdulillah syukur majlis ramah mesra dan sesi pelancaran buku yang dinantikan pada 12 Mei tempoh hari sudah pun berakhir dalam suasana yang penuh kemeriahan. Walaupun hujan lebat membasahi bumi Bangi, menyambut ketibaan kami majlis tetap berjalan lancar biar pun berubah tempat.

Memegang dan membelek buku yang ada nukilan sendiri sungguh rasa terharu seperti berada dalam mimpi. Pertemuan dengan kalian 23 penulis, juga mengujakan. Satu perasaan yang sangat gembira seperti kita pernah bersua. Walhal ini pertama kali berjumpa di alam nyata.

Terima kasih pada semua penulis yang terlibat. Sungguh rezeki ajaib. Datang untuk ambil 40 buah buku sahaja, rupanya ada sebuah untuk sendiri hadiah dari Editor, Pn Nisa. Juga ada buah tangan dari rakan penulis lain. Semoga ukhwah ni terus terjalin erat.

Terima kasih juga untuk awak yang sudi jadi peneman setia sepanjang saya berada di sana. Juga pengkritik dan pembaca pertama tulisan saya. Terima kasih untuk videoshoot yang dirakam. Semoga awak akan sentiasa jadi teman setia, memberi kata semangat, dan kekasih hati saya selamanya.

Alhamdulillah, semua tempahan sudah selamat dipos petang tadi. 20 buah buku ke merata semenanjung. Dan 10 buah terbang ke Sabah. Semoga selamat sampai ke tangan tuan empunya.

Didoakan setiap tulisan yang dikongsi dalam buku ini memberi sesuatu yang sangat bernilai pada kalian yang membacanya. Doakan semoga ada buku seterusnya. Insya Allah.

"Tulislah walau sepatah. Semoga tulisan kita mampu memberi manfaat pada yang membaca. Juga sebagai saham untuk akhirat"

Aiz
Kisah 1-2, Buku 50 kisah luar biasa suri rumah.

Thursday, 19 April 2018

Inilah Yang Dikatakan Rezeki luar Biasa

Tek : Anys Idayu Zakaria

4 bulan pertama 2018 aku agak kurang aktif di FB. Sibuk dengan tugasan hakiki. Bila penat di pejabat rasa semangat pun slow nak bermedia sosial.

Masuk bulan April Group Geng Penulisan dan cikgu penulisan, Tn Zamri Mohamad sibuk bercerita tentang PBAKL yang akan berlangsung tak lama lagi. Aku mula teringat azam yang pernah dibuat tahun lepas. Mahu keluar buku sendiri tahun 2018. Owhh nampaknya anganku musnah lagi.

Hujung minggu lepas, bila buka FB sudah ramai rakan penulisan yang lahir dengan buku sulung masing-masing. Buku solo mahupun berkolaborasi dengan penulis lain. Jujur aku memang cemburu dengan kejayaan itu.

Aku mula bertanya beberapa orang rakan cara mereka berhubung dengan editor untuk menghantar proposal. Salah seorang dari mereka telah memberi cadangan supaya menghubungi Pn Nisa untuk projek #rezekiluarbiasa.

Aku memang tak tunggu lama. Dapat sahaja info terus hubungi mereka. Bila mula lihat poster untuk projek tersebut, aku seperti rasa tak berpeluang kerana tarikh tutupnya pada hari itu juga sebelum jam 5 petang.

Allah. Tapi hati tetap mahu cuba. Selepas baca semua syarat yang ditetapkan, aku mula membuka folder penulisan yang aku peram. Alhamdulillah. Memang ada dua kisah yang berkaitan untuk membolehkan aku menghantar kisah pada mereka. Aku hanya perlu baca, edit dan betulkan semula kisah tersebut sebelum menghantar kepada mereka.

Dengan penuh tawakkal aku hantar 2 kisah pada mereka. Aku berdoa sangat semoga Allah gerakkan hati mereka untuk memilih kisah aku.

Dalam debar menanti, keesokkan harinya admin, Kasena hubungi aku dan memaklumkan langkah seterusnya yang perlu dibuat. Alhamdulillah memang gembira tak terkata, berpeluang juga akhirnya.

Syukur sangat-sangat. Inilah yang dikatakan rezeki luar biasa. Walau dalam waktu yang singkat, jika Allah tulis itu rezeki kita, apa pun halangan pasti Allah permudah dan lorongkannya.

Insya Allah buku 50 Kisah Luar Biasa Suri Rumah yang mengabungkan 25 penulis sedang dalam proses cetakan pertama. Doakan semoga semuanya dipermudahkan.

Impian nak ada tulisan sendiri dalam sebuah buku akhirnya dimakbulkan Allah. Semoga dengan cubaan pertama ini akan memberi aku lebih semangat untuk terus menulis. Manalah tahu, tahun depan boleh keluar buku solo pulakan.