Showing posts with label Perkongsian Syafiq Ridhwan. Show all posts
Showing posts with label Perkongsian Syafiq Ridhwan. Show all posts

Tuesday, 29 May 2018

Selayaknya Aku Untuk Dicintai

Sebelum kau cuba jatuh hati pada seseorang perempuan yang hatinya pernah dihancurkan, ingatlah.

Ia bukan sekadar mudah mengatakan "Saya dah jatuh hati dengan awak". Tak. Ia lebih dari itu. Kau kena beritahu dia yang dia ni tidak layak dikecewakan. Dia ini tidak layak mendapat kekecewaan sebegitu teruk untuk masa lepasnya. Hormati kekecewaan dia.

Dia cuba berusaha untuk mencintai diri sendiri seperti mana orang lain buat. Dia cuba perbaiki kesilapan dia yang dia pernah sia-siakan satu tika dulu. Dia cuba bina semula apa yang dia dah hancurkan sepanjang kehidupan dia pada masa lepas.

Kau tak perlu selamatkan dia.

Kau hanya perlu tunjukkan pada dia di sisi kehidupan dia yang tajam, dia tak perlu terluka lagi. Tiada apa yang mampu melukakan dia lagi. Tunjukkan pada dia, walau bagaimana teruk pun kehidupan pada masa akan datang, kau akan senantiasa berada di sisi. Yang penting, cuma kalian berdua sahaja. Tiada orang lain.

Ajar dia yang tidak semua orang datang hanya untuk mengecewakan. Ajar dia bahawa tidak semua orang ini hadir dan akan meninggalkan. Ajar dia bahawa dia boleh percaya orang selain daripada diri dia sendiri.

Tapi percayalah. Sebagai perempuan, dia akan persoalkan kehadiran kau. Dia akan sentiasa ragu-ragu kerana dihantui kisah lampau.Dan dia akan cuba melarikan diri.

Tahanlah.

Satu-satunya alasan dia bertindak begitu adalah untuk melihat sama ada kau benar-benar mahu atau tidak. Sama ada, tika mana dia melihat ke arah belakang, dan dia menyedari masih ada seseorang yang akan mengejar dia.

Tapi percayalah, ia sangat bermakna andai kau berjaya meyakinkan dia.

Dan dia akan kembali dan memberi sepenuh kepercayaannya semula kepada kau. Dan bila mana dia bercinta, dia akan mencintai lebih daripada apaa yang kau jangka. Dia akan mengajar kau semula apa itu erti disayangi.

Atas alasan itu, jujur tanya kepada diri kau. Sebelum kau mula mencintai seorang perempuan yang pernah kecewa, adakah kau sanggup mengambil cabaran dan dugaan yang datang sekali dengannya.

Dan tanya diri kau sendiri.

Bolehkah kau menghargai dia sebagaimana dia menghargai dirinya sendiri. Dan boleh kau mencintai dia, selayak mana dia dicintai.

Moga tiap dari kalian baik-baik sahaja berjuang untuk kebaikan diri sendiri.

Syafiq Ridhwan

Monday, 19 February 2018

Sisi Istimewa

Kau akan dipandang cantik oleh yang mencintai kau.

Tak kiralah walaupun orang lain berpendapat berlainan tentang kau, tapi ada sisi istimewa pada orang yang mencintai kau. Dan bahagia itu memang sebegitu, mampu diterima baik buruk oleh orang yang seharusnya.

Syafiq Ridhwan

*****************************

Terima kasih awak. Saya tahu inilah yang dimaksudkan oleh bicara awak semalam.

Aiz.

Suatu Hari Nanti

Satu hari nanti, kau akan berjumpa dengan seseorang yang akan mengingatkan kau bagaimana rasanya cinta sejati. Dan ia akan kekal selamanya.

Satu hari nanti, kau akan berjumpa dengan seseorang yang kau sendiri tak akan mempertikaikan. Dan bila mana waktu itu tiba, kau tak akan lagi berasa risau.

Satu hari nanti, kau akan berjumpa dengan seseorang yang mana kau menyedari bahawa segala yang berlaku dalam kehidupan kau selama ini, membawa kepada pertemuan dengan dia.

Satu hari nanti, bila kedengaran nama orang yang pernah mengecewakan kau satu tika dulu, kau akan teringat sedikit pada kenangan, tapi kau tidak akan berasa sedikit pun sakit hati dan rindu.

Kerana sekarang kau ada seseorang yang jauh lebih baik. Jauh lebih bagus dari sesiapa pun.

Satu hari nanti, kau akan berjumpa dengan seseorang yang kau akan sayang dia sungguh-sungguh. Ia pasti akan berlaku. Boleh jadi dalam masa satu hari, dan boleh jadi dalam setahun.

Kau akan jatuh cinta dengannya, dan untuk beberapa alasan, kau tidak ketakutan lagi. Cara dia melihat kau, kau boleh tahu kejujuran di situ. Dan cara dia menemani kau seolah tiada lagi kata selamat tinggal.

Satu hari kelak, kau akan berjumpa dengan seseorang yang menyatakan indah rupanya berkasih sayang kerana Tuhan.

Ia tiada pengakhiran hingga ke Shurga.

Tidak akan ditinggalkan.
Dan dia tidak akan sekali-kali meninggalkan.

Syafiq Ridhwan

*****************************

Semoga satu hari yang dimaksudkan itu, inilah masanya yang sedang aku tempuh. Aiz

Berani Ambil Risiko

Kalau kau jumpa seseorang yang kau sendiri rasa, dia melayan kau sebagaimana kau mahu, sentiasa berusaha membuat kau tersenyum, dan menjadikan kau, kehidupan yang jauh lebih berbeza daripada masa lepas, tak bermakna dengan bersendirian itu kau akan jadi lebih baik.

Adakalanya,
Kau kena beranikan diri untuk mengambil risiko.

Berjumpa, cuba mengenali hati budi. Belajar untuk mempercayai orang selain daripada diri kau. Mungkin sedikit demi sedikit, kau boleh memberi peluang kepada dia untuk belajar memahami tentang diri kau, walaupun kau tahu, masih terdapat peluang untuk dikecewakan.

Dan bila kau dah berjumpa dengan seseorang yang kau rasa sempurna dari semua segi, kau tak boleh membenarkan rasa takut untuk menghalang diri kau daripada terus melangkah ke hadapan. Kau tak boleh terus menerus memberitahu diri kau yang kau akan bahagia walaupun berseorangan. Dan kau tak boleh sedikit pun berfikir bahawa hubungan ini akan berakhir dengan kekecewaan sedangkan ia tidak pun bermula. 

Bila kau dah berjumpa dengan orang yang sesuai. Kau kena buka hati kau semula. Buka jiwa kau semula. Kau kena berharap yang dia ini tak sama seperti mereka yang sebelumnya. Walaupun boleh saja kau melarikan diri. Kau kekal menolak dan bersembunyi.

Tapi kau kena sedar.
Diri kau ini, berhak untuk dihargai.

Kau berhak dipimpin tangan. Kau berhak untuk mendapat seseorang yang memandang diri kau seolah kau ini adalah seluruh kehidupan dia.

Percayalah.

Syafiq Ridhwan

Sunday, 30 July 2017

Kenal Hati Budi

Aku suka follow penulisan Syafiq Ridhwan. Semua yang tulis beliau memang deep, dekat dihati. Kena pulak batang hidung sendiri. Hahaha.

Penulisan beliau banyak membuka pintu hati aku untuk terus belajar memaafkan, melupakan, dan tak mengharap pada yang tak pasti.

Posting beliau semalam, aku ada komen. Mujur dengan baik hati beliau balas komen aku.

Jom baca perkongsian beliau di bawah.

Mungkin kisah cinta awak terlalu sukar sebab awak kerap memberi peluang kepada orang yang sama untuk datang semula berbanding awak memberi peluang kepada orang yang baru.

Masalah bila awak ditinggalkan ini, bila awak kecewa, bila awak terluka, ia tak akan berlalu pergi senang-senang. Ia tak akan senang-senang keluar dari sistem kehidupan awak, walaupun untuk cuba memadamkan secara total di dalam ruang lingkup pemikiran juga awak tak akan mampu.

Awak berkata awak memaafkan, tapi awak tak akan dapat melupakan. Awak berkata untuk bermula semula, tapi tetap saja awak akan teringat sedikit kenangan sehinggalkan awak kecewa.

Awak masih di situ. Orang yang sama dibelenggu harapan untuk beroleh peluang kedua yang lebih baik untuk orang yang sama. Awak berharap akan terdapat sedikit perubahan pada orang tersebut, dan awak teruja untuk kembali bersama seperti dulu.

Ia mungkin sedikit berbeza, sehinggalah bila mana dia tiba pada keadaan yang sama. Keadaan yang pernah membuatkan awak hilang kepercayaan. Awak akan lebih berhati-hati, cara awak berfikir, perlakuan awak akan membataskan minda awak untuk menganggap orang yang datang selepas ini masih sama. Mudah memberi dan berlalu pergi.

Dengar sini.

Maafkan. Pergi. Dan mulakan hidup baru bersama orang yang baru.  Beri peluang yang sama dari hati awak kepada orang yang baru. Mungkin awak hanya perlu belajar untuk menyintai orang semula. Orang yang berbeza. Mungkin juga pelajaran ini tidak akan menjadi sekiranya diajar oleh yang hanya mampu memberikan kekecewaan  berbanding bahagia.

Mungkin kita hanya perlu memberi peluang pertama semula, berbanding lagi dan lagi untuk peluang kedua.

Wallahualam.

Syafiq Ridhwan
10.13 malam
Mungkin ini cara untuk mula semula.

Anys Idayu Zakaria : Thanks Tuan. Tapi macam mana pulak kalau kita baru nak bagi harapan pada orang baru, tapi dia juga ada sejarah silam sama macam orang dulu.

Keliru. Nampaknya Allah masih uji saya terpaksa berdepan dengan mereka yang punya sejarah silam yang sama.

Syafiq Ridhwan : Sejarah silam yang sama tak bermakna orangnya sama. Cubalah beri peluang dulu. Tapi Jangan sepenuh hati. Mengenali hati budi ini perlukan masa. InshaAllah

Anys Idayu Zakaria : Sejarah mereka sama. Tapi orang berbeza. Cuba bagi peluang, tapi tak mampu takut tersalah lagi buat pilihan.

Baik Tuan terima kasih atas pandangan. Saya cuba juga

(Maaf tak boleh screenshot, tak lepas aku nak publish entri ni. Jadi aku copy je perbualan kami di komen entri beliau semalam)

Kerana nasihat beliau dan kata-kata semangat tersebut, aku pujuk hati untuk memberi peluang kepada "orang baru" yang tiba-tiba muncul dalam hidup aku.

Walaupun hati masih dibayangi sejarah silam, aku terpaksa belajar untuk bertenang. Nak kenal hati budikan ambil masa. Jadi tak salah untuk aku berkawan-kawan je dulu sebelum lebih serius.

Ok done, first date harini. Hahha harap hati masih boleh baik dan bertenang-tenang.

Date dengan siapa itu rahsia. Tunggu masa sesuai baru aku kongsi lagi.

Wednesday, 28 June 2017

Menangis

Menangislah kalau perlu. Menangislah kalau awak rasa dipinggirkan. Menangislah kalau awak rasa dunia ini seolah tidak berpihak kepada awak. Menangislah kalau awak rasa apa impian dan cita-cita yang awak inginkan sangat sukar untuk dicapai. Menangislah bila mana orang yang awak letakkan harapan pergi jauh meninggalkan awak. Menangislah seikhlas hati awak. Sejujur mana awak mahu kawan.

Dunia ini kadang-kadang ujiannya begitu kawan. Awak akan menangis, menangis dan terus menangis. Tapi tak bermakna dengan menangis menjadikan awak lemah. Sedikit pun tidak. Awak cuma melepaskan kekecewaan yang sudah lama terbuku di hati.

Tapi percayalah. Kelegaan selepas itu akan menjadi momen yang paling awak ingat. Dan pasti kawan, awak pasti tidak mahu perkara itu berulang. Ia sangat sakit bila awak tidak lagi suka dengan kehidupan yang awak lalui kerana kosongnya hati. Tapi kita bukan orang yang paling malang. Bukan.

Yang akan mengisi kekosongan hati awak itu adalah awak sendiri. Cintailah diri awak. Jaga hati awak baik-baik. Jangan bunuh ia.

Kalau awak lupa cara untuk bahagia tak mengapa. Dunia ini, ada orang nun jauh di sana sentiasa mendoakan awak. Kerana ada di kalangan mereka, masih punyai hati yang mulia.

Menangislah dengan lega.

Syafiq Ridhwan
8.48 malam
Moga dipermudah