Showing posts with label kisah hidup. Show all posts
Showing posts with label kisah hidup. Show all posts

Tuesday, 23 October 2018

Ibu Tunggal, Ibu Berdikari

Tek : Anys Idayu Zakaria

Jika kita belum lalui apa yang orang lain telah lalui, usah dengan mudah berkata kita mampu untuk hadapi jika situasi itu terjadi pada diri. Mungkin nampak sama, tetapi yang pasti ujiannya berbeza-beza.

Betullah sebenarnya apa yang kita fikir, terkadang itulah yang akan dizahirkan melalui percakapan, perbuatan, atau tanggapan orang lain terhadap kita.

Walaupun memang betul gelaran wanita yang sudah bercerai, orang lebih senang panggil "janda", tapi aku sendiri telah semat dalam hati jangan guna gelaran tersebut. Kerana aku tahu satu masa gelaran itu pasti akan memberi kita satu perasaan rendah diri, rasa tersisih. Aku tak nak sesuatu yang tak baik terjadi pada aku, hanya kerana status itu. Biarlah orang memandang kerana kebaikan kita. Bukan orang pandang kerana gelaran yang sedang kita bawa.

Seorang teman pernah bercerita, kerana tidak tahan dengan masalah yang dihadapi, dia seperti merelakan perpisahan. Dan sanggup lagi memegang status janda itu.

Aku hanya mampu nasihat, cari jalan berdamai, berusaha sehabisnya hingga buntu temui jalan penyelesaian. Dan perpisahan itu jalan terakhir yang perlu dilakukan.

Wanita yang membawa status janda ini, walau kita buat kebaikan ada ketika orang tetap pandang sinis. Orang tetap akan anggap kita penyebab segalanya.

Dan kerana aku sendiri sudah semat dalam hati, tak suka dengar gelaran itu alhamdulillah Tuhan jaga aku dari melalui sesuatu yang tidak sepatutnya atau yang pernah dilalui oleh kebanyakkan dari mereka yang bergelar janda.

Hati aku lebih tenang dan suka dengar bila wanita yang bercerai ini disebut "ibu tunggal, atau ibu berdikari." Kerana kita mampu berdiri sendiri, kuatnya hati dan emosi kita untuk menghadapi saat perpisahan, dan bangkit semula membina kehidupan yang pernah musnah satu masa dulu.

Semoga kalian di luar sana sama-sama kuat membina kehidupan. Tak mudah menyerah kalah. Sabar dengan dugaan. Dan aku doakan semoga satu hari nanti semua kepahitan yang dilalui Tuhan akan gantikan dengan kemanisan umpama manisnya madu, cantiknya secantik warna pelangi yang menghiasi langit selepas mendung dan hujan berlalu pergi.

Papa Baik Tak?

Tek : Anys Idayu Zakaria

Posting di fb entri yang lepas ada yang komen, cuba tanya anak dengan siapa yang mereka nak tinggal, kalau aku dah berkahwin nanti.

Satu hari ketika aku berjumpa dengan seorang rakan, dia bertanya, bekas pasangan aku dulu baik ke dengan anak-anak. Aku tidak menjawab iya atau tak. Aku hanya jawab, cuba tanya anak-anak aku apa jawapan mereka.

Memang betul kata orang tua, apa yang keluar dari mulut anak kecil itulah kebenarannya.

Perbualan mereka

Azie : Papa baik tak. Tak nak duduk dengan papa?

Fasha & Raisha : ermmm takkk. Tak nak. Nak duduk dengan mama, dengan daddy

Azie : Daddy baik tak?

Fasha & Raisha : baikkkk hensem lagii.

Kami semua gelak besar. Kawan aku siap bagitau, amboiii siap pakej lagi dia puji. Hehehe

Aku hanya bagitau, itulah jawapan dari mereka sendiri. Budak sebesar itu sudah bijak menilainya. Apatah lagi orang dewasa. Sudah tentu lebih lagi pandangan yang mereka berikan. Jika sejak awal langsung tidak ada rasa tanggungjawab itu hadir dalam diri sendiri pasti anak-anak yang meningkat usia itu juga tahu menilainya.

Sunday, 23 September 2018

Penempatan Baru

Tek : Anys Idayu Zakaria

Janggal aku rasa sebenarnya meluahkan kesedihan bila bersedih. Menzahirkan kegembiraan bila hati bahagia. Kerana aku tak nak orang simpati pada kesedihan aku. Aku tak nak orang berharap-harap pada kegembiraan aku.

Apa pun, alhamdulillah syukur rezeki datang lagi seperti mana aku minta dimudahkan urusan pertukaran aku. Sungguh memang luar jangkaan. Tak sangka cepat sangat proses pertukaran dan penempatan yang aku mohon minggu lepas.

Memang aku gembira dah dapat tukar. Tapi dalam masa sama orang tak tahu takut dan nebes aku nak hadap situasi baru. Hampir 11 tahun bertugas di Maritim Johor. Hampir 34 tahun di Jb, dekat dengan family. Tiba-tiba bila nak kahwin kali kedua aku relakan hati untuk bertukar keluar Johor, mengikut bakal suami. Sungguh sesuatu yang di luar dugaan. Sesuatu yang aku rasa takut untuk hadapi.

Banyak benda aku kena fikir. Mana nak tinggal. Mana nak sekolahkan anak. Nak urus perpindahan ke sana. Jauh dengan family pulak. Risau sangat kalau ada apa-apa, family jauh. Seperti memulakan kehidupan baru, dunia dan suasana baru. Banyak benda aku kena belajar di tempat baru, kena lalui situasi baru yang aku belum faham keadaannya.

Aduhh. Kadang rasa, kalau aku tahu cepat macam ni dapat tukar, baik aku minta lambat-lambat. Sekurangnya ada juga masa aku bertenang selepas kahwin.

Bila aku suarakan pada Ma Abah, cepat sangat dapat tukar. Ma tenang-tenangkan hati aku. Rezeki Allah nak bagi, dapat cepat. Orang lain duduk jauh dengan suami, ada yang tak boleh tukar-tukar. Anak pun ada yang susah nak dapat. Bertahun-tahun. Rezeki kami dapat sekali 4 orang anak.

Sungguh memang tak berapa tenang hati aku sebenarnya. Semoga tempat baru aku mencari rezeki di Maritim Selangor kelak lebih selesa dan mudah berurusan dengan anggota dan pihak pengurusan mereka. Suasana kediaman yang memudahkan segala urusan pergi balik kerja, untuk tinggalkan anak-anak, tempat sekolah mereka, keadaan persekitaran dan orang sekeliling yang memberi kerjasama sebaiknya.

Apa pun perancangan Allah itu sangat cantik dan sempurna. Allah dah susun cantik ikut flow. Moga seterusnya yang dilalui juga dimudahkan Allah.

Sunday, 10 December 2017

Tertangkap

Tek : Anys Idayu Zakaria

“Cepat, ikut kami ke balai.  Cerita di sana sahaja.”

“Ini rumah saya. Saya tak buat apa-apa pun. Saya jumpa kawan je. Nak balik rumah dah”.

“Kau ingat kami tak nampak kau campak barang dalam longkang tadi. Dah ikut kami.”

Sayup-sayup aku dengar seperti suara keras polis sedang bertelingkah dengan seseorang.  Hati aku sudah berdebar-debar. Dalam fikiran aku sudah terbayang dia yang belum balik ke rumah lagi. Padahal jam sudah menunjukkan lewat pagi. Aku cuba untuk tidur semula. Malas mahu fikir apa yang berlaku di luar.

Tak sampai sejam berlalu, telefon aku bordering.

“Yang, amik abang di balai sekarang. Tolong.”

“Laa, kenapa pulak ni?” aku bertanya.

“Datang je dulu. Nak balik tak boleh ni. Nanti saya cerita”, ujar dia memaksa aku bergegas keluar rumah.

Aku tinggalkan kakak yang sedang nyenyak tidur di bilik.  Perlahan-lahan aku keluar rumah.  Bimbang kakak terjaga.  Kalau terjaga pasti kakak akan menangis mencari aku.  Mujur dari rumah aku ke balai lebih kurang 10 minit sahaja.

Dia dapat keluar dan tak ditahan kerana atas pertolongan kawannya yang lain. Sampai di rumah, aku membebel tak berhenti.  Dia juga sempat berpesan pada aku supaya merahsiakan hal tersebut dari pengetahuan Mak.

Aku malas mahu fikirkan hal tersebut. Jadi aku ambil sikap mudah. Lupakan sahaja perkara itu. Sejak malam itu, aku ingat dia sudah memperlahankan langkahnya. 

Rupanya, makin kerap keluar malam.  Sibuknya mengalahkan Perdana Menteri pula.  Dan sejak itu bermulalah episod dia tertangkap dan ditahan beberapa kali.

*****************

Macam nak sambung lagi. Ada yang nak baca ke kalau cerita ni aku tulis lagi.

Sunday, 12 February 2017

Gunting Rambut



Bukan main lagi kakak mendesak mama nak gunting rambut. Rambut yang seciput tu pun dia nak gunting bagi pendek lagi. Malam hari meredah Bandar Tiram semata-mata nak cari kedai gunting. Ya Allah, macam dah lama tak bawa kereta berjalan malam, boleh pula tak perasaan lampu sebelah dah mati. Jalan pun dah simpang siur rasanya. 

Jadi sebelum ke kedai gunting, saya singgah ke sebuah bengkel.  Kedai dah nak tutup pun, tapi minta juga paksa betulkan. Mujur tauke tu faham. Malam-malam memang sukar kalau lampu kereta terpadam. Adakala rasa macam nak menangis bila urus sesuatu yang melibatkan kereta seorang diri.  Kalau dulu rasa macam nak terduduk kalau kereta bermasalah. Mesti menangis dulu, baru cari jalan penyelesaian. Alhamdulillah sekarang emosi dah stabil sikit.  

Siap betulkan lampu, kami terus ke kedai gunting rambut. Hampir setengah jam di situ, siap pakej semua kakak, adik dan mama sekali. Ha ha ha. Masalahnya bila balik rumah, saya tak puas hati pula dengan rambut Raisha. Ala-ala panjang masih boleh terikat lagi.  Apa lagi, dengan yakin, saya ambil gunting dan pendekkan lagi. 

Raisha dengan muka macam tak yakin siap tanya, mama pandai ke gunting rambut. Baik-baik tau. Jangan sampai rambut adik habis, nanti botak semua. Ala dik, kalau botak kan boleh jadi Upin Ipin kah kah. Ok siap. Cantik tak mama gunting. Wah canteknya, pandainya mama. Membodek pandai la awak. Padahal mama gunting sikit je pun.

Sunday, 31 July 2016

Alhamdulillah

Bismillah

Sudah tiba masanya untuk saya berkongsi kisah kasih sayang, kisah kehidupan, kisah pengalaman, kisah motivasi untuk tatapan diri sendiri, untuk diri bangkit dari kesilapan dan kegagalan masa lalu. Dan mungkin juga boleh dijadikan sebagai satu panduan untuk kalian yang sudi membacanya