Tek : Anys Idayu Zakaria
Janggal aku rasa sebenarnya meluahkan kesedihan bila bersedih. Menzahirkan kegembiraan bila hati bahagia. Kerana aku tak nak orang simpati pada kesedihan aku. Aku tak nak orang berharap-harap pada kegembiraan aku.
Apa pun, alhamdulillah syukur rezeki datang lagi seperti mana aku minta dimudahkan urusan pertukaran aku. Sungguh memang luar jangkaan. Tak sangka cepat sangat proses pertukaran dan penempatan yang aku mohon minggu lepas.
Memang aku gembira dah dapat tukar. Tapi dalam masa sama orang tak tahu takut dan nebes aku nak hadap situasi baru. Hampir 11 tahun bertugas di Maritim Johor. Hampir 34 tahun di Jb, dekat dengan family. Tiba-tiba bila nak kahwin kali kedua aku relakan hati untuk bertukar keluar Johor, mengikut bakal suami. Sungguh sesuatu yang di luar dugaan. Sesuatu yang aku rasa takut untuk hadapi.
Banyak benda aku kena fikir. Mana nak tinggal. Mana nak sekolahkan anak. Nak urus perpindahan ke sana. Jauh dengan family pulak. Risau sangat kalau ada apa-apa, family jauh. Seperti memulakan kehidupan baru, dunia dan suasana baru. Banyak benda aku kena belajar di tempat baru, kena lalui situasi baru yang aku belum faham keadaannya.
Aduhh. Kadang rasa, kalau aku tahu cepat macam ni dapat tukar, baik aku minta lambat-lambat. Sekurangnya ada juga masa aku bertenang selepas kahwin.
Bila aku suarakan pada Ma Abah, cepat sangat dapat tukar. Ma tenang-tenangkan hati aku. Rezeki Allah nak bagi, dapat cepat. Orang lain duduk jauh dengan suami, ada yang tak boleh tukar-tukar. Anak pun ada yang susah nak dapat. Bertahun-tahun. Rezeki kami dapat sekali 4 orang anak.
Sungguh memang tak berapa tenang hati aku sebenarnya. Semoga tempat baru aku mencari rezeki di Maritim Selangor kelak lebih selesa dan mudah berurusan dengan anggota dan pihak pengurusan mereka. Suasana kediaman yang memudahkan segala urusan pergi balik kerja, untuk tinggalkan anak-anak, tempat sekolah mereka, keadaan persekitaran dan orang sekeliling yang memberi kerjasama sebaiknya.
Apa pun perancangan Allah itu sangat cantik dan sempurna. Allah dah susun cantik ikut flow. Moga seterusnya yang dilalui juga dimudahkan Allah.
No comments:
Post a Comment