Hari ini, kesemua empat anak aku tinggal kat rumah. Aku ajak orang rumah keluar kononnya cari baju untuk baby Aryan.
Berdua kami berpimpin tangan ditengah bandar, dicelah ribuan orang. Tangan ini aku genggam erat. Ini tangan insan yang menemani susah senang aku sejak 9 tahun lalu.
Sebaik melintas depan kedai emas, aku tarik tangan ini masuk. Seakan tidak percaya dia, terpaku di depan pintu utama. 9 tahun, entah berapa ratus kedai telah kami masuki bersama-sama.
Namun ini kali pertama aku pimpin pemilik tangan ini dengan rela memasuki sebuah kedai idaman wanita.
"Masuklah. Pilih awak suka yang mana. Nak cincin ke, gelang ke, rantai ke. Ambil saja."
Awalnya dia hanya memilih cincin. Aku dapat agak pemilik tangan risau dengan angka yang bakal keluar jika memilih gelang atau rantai leher.
"Tengoklah gelang. Cincin awak dah banyak tu."
"Boleh ke bang?"
Aku hanya senyum dan angguk kepala. Satu pilihan dia berkenan, diambil dan timbang. Keluarlah empat angka yang boleh tahan juga.
Semasa penjual ingin menulis resit, aku perasan insan ini memerhati seutas rantai leher penuh minat.
"Yang mana?" soalku.
"Eh, biarlah bang."
"Ambil yang tu tengok," ujarku pada penjual.
Riak muka gembira dan serba salah serentak pada wajahnya. Dicuba dan dia berkenan sekali. Maka aku pinta penjual timbang dan tulis harga.
Empat angka keras keluar hingga aku pun telan air liur berkali-kali.
"Bang. Cancellah gelang. Trade in sekali rantai saya ini. Kita ambil seutas rantai ini cukuplah," bisik insan ini perlahan.
"Tak apa. Tak apa. Ambil dua-dua. Jangan ditolak rantai lama. Barang emas ni tak rugi simpan banyak," ujarku.
Si dia berdiri kaku. Sebak dan terharu terpapar diwajahnya. Lantas tangannya menggenggam erat tangan aku.
Dan kami, berpimpin tangan keluar kedai. Mencari baju untuk anak pula. Tangan ini menggenggam erat tanganku. Bibir diketap berkali-kali menahan air matanya dari gugur dan membasahi wajah.
Isteri sebenarnya bukanlah minta dibeli itu ini. Cukuplah mereka rasa dihargai.
Emas dan hadiah bernilai tinggi itu bukan menggambarkan tingginya kasih yang ada. Bagi orang berada, semua itu bagai tiada nilainya.
Hadiah mahal tanpa nilai kasih hanya menjadi hiasan tanpa perasaan.
Namun jika setiap titis peluh dan keringat yang disorok, segala penat yang disembunyi, setiap helai not yang disimpan, hanya untuk mempersembahkan sebuah penghargaan pasti sangat memberi kesan pada yang tercinta.
Lelaki. Jarang mempamerkan perasaan. Dalam layanan tanpa acuhnya ada sayang. Dalam marahnya tetap ada kasih yang mendalam.
Sesekali, perasaan itu perlu dipamerkan. Samada melalui ungkapan, tindakan, perlakuan atau penghargaan.
Sesekali, rasa itu perlu dipersembahkan.
Untuk anak-anak, aku sanggup korban segalanya.
Untuk dia, aku persembah nyawa.
#MFS
- Moga cinta mekar hingga ke syurga -
.