Showing posts with label Pencinta Buku. Show all posts
Showing posts with label Pencinta Buku. Show all posts

Wednesday, 4 September 2019

Biblioholis

Pernah tak kalian dengar perkataan Biblioholis.

Pertama kali aku dengar perkataan ni. Rupanya perkataan ini membawa maksud "Pencinta Buku"

Dalam satu blog yang aku baca, terjumpa artikel yang ditulis oleh Shahrom TM Sulaiman tentang dunia biblioholisme.

Biblioholisme ialah satu fenomena yang mana keasyikkan, kecanduan, keterujaan yang luar biasa terhadap buku, bahan bacaan dan yang sewaktu dengannya.

Para pencinta buku pula dikenali sebagai Biblioholis, atau ada juga yang menyebut biblioholic.

Sejarah dunia banyak meriwayatkan tokoh-tokoh cendekiawan yang terlalu bernafsu dengan buku.

Boulard, Pakar Perundangan Perancis abad ke-18 sanggup membeli enam buah rumah semata-mata untuk menyimpan buku-buku beliau kerana rumah sediada tidak mencukupi ruangan.

Ramai juga Sarjana Islam yang digelar biblioholis antaranya Ibnu Qayyim al-Jauzi yang mengarang lebih 60 kitab dalam pelbagai bidang.

Termenung aku sejenak. Rupanya Biblioholisme ni sebenarnya satu penyakit kerana ketagihannya yang melampau. Tapi pada aku penyakit yang agak baik. Jangan sampai memudaratkan sudah la.

Nak tahu samada korang tergolong sebagai biblioholis atau tidak. Jom kita cuba tengok ciri di bawah :

1. Pernah beli buku yang diminati dua kali

2. Mengutamakan kedai buku daripada kedai lain bila keluar shopping

3. Pernah alami situasi yang mana korang tak ingat berapa jumlah duit yang korang dah belanjakan untuk membeli buku

4. Tak ingat dah berapa banyak buku korang ada.

5. Berjaya perolehi buku yang korang nak walaupun peniaga buku di kedai tersebut tak temui buku yang dicari.

6. Memegang buku ketika menonton tv, dan membaca buku semasa iklan

7. Tak sedar pun buku yang ada langsung tak sempat baca tapi dah tambah koleksi buku lain.

8. Sehinggakan orang lain menegur kita membeli terlalu banyak buku.

9. Membawa buku walau ke mana korang pergi.

10. Membaca buku semata-mata mahu menghabiskan bacaan hingga lupa tidur, makan dan aktiviti lain.

Ahaa, ada yang terkena batang hidung sendiri. Saya pun ada ciri-ciri di atas. Mungkin boleh la di gelar Biblioholis.

Semalam, tercetus pula idea mahu membuka group baru dan berkongsi hobi membaca dengan rakan lain.

Maka, tertubuhlah group wassap "Biblioholis. Pencinta Buku". Setakat harini baru ada 37 orang. Kami baru bermula semalam. Masing-masing begitu teruja sekali bila hampir semua rakan menunjukkan buku bacaan yang mereka sedang baca.

.
Tujuan utama saya tubuhkan Group Biblioholis adalah untuk membudayakan semangat dan sikap suka membaca.

❤ Nak ambil semangat rakan lain yang suka membaca

❤ Nak berkongsi dengan rakan lain bahan bacaan kita.

Kerana pencinta buku ni biasanya akan ada rasa jelous bila orang lain ada buku yang kita tak ada. Heheh saya la tu 🤭🤭

❤ Nak galakkan rakan lain membaca sekurang sebuah buku seminggu. Paling minima 2 buah sebulan.

Untuk memandaikan minda dan menajamkan pemikiran kita.

Untuk latih kita menulis dan berkongsi.

Untuk kita belajar dari kisah hidup dan kejayaan orang lain daripada buku yang dibaca.

❤ Kami buat macam cabaran. So bila rakan habis baca buku dalam masa seminggu, mesti kita makin berkobar-kobar nak habiskan bacaan kita jugakan.

❤ Berkongsi ulasan buku. Mungkin buku yang rakan baca bukan genre yang kita minat. Tapi melalui sharing rakan kita juga boleh dapat ilmu.

Kawan-kawan,

Mohon doakan kami konsisten membaca dan menghabiskan bahan bacaan kami. Ia juga perlu bermula dengan paksaan.

Dan mungkin cara ini memberi semangat dan support kepada rakan lain yang suam-suam kuku nak mula baca.

.

Like dan #SHARE jika korang rasa bermanfaat. Jom follow dan set see first FB Anys Idayu Zakaria jika korang tak nak terlepas posting-posting menarik dari saya.

#aizmenulis

Friday, 10 August 2018

Cintailah Perempuan Yang Membaca

(Oleh: Rosemarie Urquico. Terjemahan: Izmil Amri)

Cintailah perempuan yang membaca. Perempuan yang berhabis duit untuk buku dan bukan baju. Dia punya masalah dengan ruang lemari baju, kerana dia punya terlalu banyak buku. Cintailah perempuan yang punya senarai buku-untuk-dibaca, perempuan yang punya kad perpustakaan sejak dia dua-belas tahun usia.

Carilah perempuan yang membaca. Dialah perempuan yang sentiasa menyimpan buku yang belum dibaca dalam tas tangannya. Dialah yang meninjau-ninjau di dalam kedai buku dengan penuh rasa kasih sayang. Yang menjerit kecil apabila ketemu buku yang dicari. Kau lihat gadis aneh yang mencium bau halaman buku lama di kedai buku terpakai itu? Itulah dia perempuan yang membaca. Dia tidak akan dapat tahan nafsu untuk menghidu halaman buku lama, terutamanya yang sudah mulai kuning.

Dialah perempuan yang membaca sambil menunggu di kedai kopi hujung jalan sana. Kalau kau lihat cawan kopinya, krimer bukan tenusu maseh lagi terapung di atas, dia sudah pun keasyikan. Hilang tenggelam dalam dunia bikinan si penulis. Duduklah di sebelahnya. Dia mungkin akan menjeling, kerana perempuan yang membaca tidak suka diganggu ketika membaca. Tanyalah jika dia suka buku yang dibacanya itu.

Belikan dia secawan kopi lagi.

Katakan pada dia apa yang kau fikir tentang Murakami. Lihat sama ada dia sudah melepasi bab pertama Fellowship. Fahami bahawa jika dia katakan yang dia faham Ulyssesnya si James Joyce, itu hanyalah kerana mahu kelihatan cerdik. Tanyakan kalau-kalau dia suka Alice, atau jika dia mahu menjadi Alice.

Alangkah senang bercinta dengan perempuan yang membaca. Hadiahkan dia buku pada hari jadinya, pada Hari Natal dan pada setiap ulangtahun. Hadiahkan padanya hadiah kata-kata, dalam puisi, dalam lagu. Berikan dia Neruda, Pound, Sexton, Cummings. Biar dia mengerti bahawa kau memahami yang kata-kata itu adalah cinta. Fahamilah yang dia sememangnya tahu beza antara dunia buku dan realiti, walau dia bersungguh juga mahu bikin hidupnya seakan buku yang paling dia suka. Bukan salah kau kalaupun di mencuba begitu.

Apa cara pun, dia mesti akan perlu mencuba juga.

Berbohonglah padanya. Jika dia memahami sintaks, dia akan faham keperluan kau untuk berbohong. Di balik kata-kata ada perkara-perkara lain: motivasi, nilai, nuansa, dialog. Tidak akan kiamat lagi dunia, kalau kau bohong padanya.

Kecewakan dia dengan kegagalan. Kerana perempuan yang membaca tahu bahawa kegagalan selalunya membawa kepada klimaks jalan cerita. Kerana perempuan yang membaca faham bahawa tidak semua perkara berakhir begitu sahaja. Masih boleh ditulis sekuelnya. Masih boleh mula semula, lagi dan lagi, dan masih boleh jadi hero. Dia faham bahawa dalam hidup, mesti ada satu dua watak jahat.

Kenapa takutkan segala yang bukan kau? Perempuan yang membaca memahami bahawa manusia, sama juga seperti watak dalam buku, berkembang. Kecuali dalam siri Twilight.

Kalau kau ketemu perempuan yang membaca, janganlah dibiar pergi jauh. Bila kau ketemu dia di tengah malam jam dua pagi sedang memeluk buku ke dadanya dan menangis, buatkanlah dia secawan teh dan peluk dia rapat-rapat. Kau mungkin kehilangan dia untuk seketika, tetapi dia tetap akan kembali pada kau. Dia akan berbicara seolah watak di dalam buku itu hidup, kerana untuk satu ketika, watak-watak itu benar-benar hidup.

Kau akan melamarnya di atas belon udara panas. Atau ketika konsert rock. Atau secara bersahaja bila dia jatuh sakit. Atau melalui Skype.

Kau akan tersenyum sampai telinga dan tertanya-tanya kenapa jantung kau masih belum meletup keluar dari rongga dada. Kau akan menulis kisah hidup kau berdua, punya anak-anak dengan nama pelik-pelik dan selera yang bukan-bukan. Dia akan perkenalkan anak kau kepada Cat in the Hat dan Aslan, barangkali pada hari yang sama. Kau akan berjalan di musim salji bersamanya bila sudah berusia nanti, dan dia akan bacakan Keats dengan nada lembut sambil kau ketis salji dari kasut.

Cintailah perempuan yang membaca kerana kau berhak. Kau berhak untuk dapat seorang perempuan yang boleh memberi kau kehidupan penuh warna. Kalau kau hanya sugul, membosankan dan tidak serius, adalah lebih baik kau bersendirian. Kalau kau mahukan dunia, dan dunia-dunia di sebaliknya, cintailah perempuan yang membaca.

Atau lebih baik, cintailah perempuan yang menulis.

Kredit gambar: Syuhadah.
Lokasi: The Bookshop at A Word Affair di Pop by Jaya One, Petaling Jaya.