Wednesday, 19 September 2018

Tip Menimang Cahaya Mata

Untuk mereka yang masih belum menimang cahayamata, bacalah semoga bermanfaat buat anda.

Alkisahnya, ketika mula-mula kahwin saya pernah nyatakan pada isteri yang kalau ada rezeki saya nakkan anak yang ramai.

Namun selepas 2-3 tahun nampaknya harapan saya kabur dan terkubur.

Suatu hari isteri memberitahu yang minggu depan ada temujanji dengan doktor. Katanya doktor nak jumpa saya untuk buat pemeriksaan kesuburan.

Isteri dah buat terlebih dahulu dan katanya tiada masalah di sebelah isteri jadi doktor perlu periksa saya untuk memastikan sebabnya.

Pergh, dup dap dup dap, berdebar habaq hang.

Dua tiga malam tidur tak berapa nak nyenyak memikirkan nasib diri.

Mungkinkah saya puncanya?

Namun setelah ujian di buat maka keputusannya kami berdua sihat dan tiada masalah untuk mendapatkan zuriat, cuma belum ada rezeki lagi kata doktor.

Berbagai cara, usaha, tips yang dilaksanakan namun tidak berjaya.

Namun selepas berubah angin dan mengamalkan gaya hidup yang berbeza, ia memberikan perubahan yang ketara di dalam kesihatan kami suami isteri.

Kurang stress, lebih sihat, lebih bahagia.

Itu kuncinya.

Perubahan ketara tersebut telah meningkatkan kualiti perhubungan kami. Akhirnya isteri saya disahkan hamil anak pertama kami.

Tudiaa, dah dekat 10 tahun kahwin baru nak dapat anak. Gembira ya amat.

Jadi saya nak kongsi beberapa langkah dan tips bagi mereka yang dah menunggu lebih dari 5-6 tahun untuk cuba praktikkan.

Mana lah tahu mungkin ada rezeki.

1. Buat pemeriksaan doktor.

Ini paling penting. Suami dan isteri kena sama-sama pergi buat pemeriksaan. Orang lelaki jangan ego. Ada sperma bukanlah penentu, jadi pergilah berjumpa pakar.

Doktor akan ambil sampel dan buat "sperm count" dan tengok samada ia sihat dan berkualiti atau tidak. Sekiranya anda berdua tiada masalah maka ikuti langkah seterusnya.

2. Buat "post mortem".

Duduk berdua dengan isteri selepas "candle light dinner" dan berbincang tentang perkara ini. Tengok balik, ada tak silap di mana-mana.

"Timing" atau tarikh tak betul ke? Hubungan yang tidak berkualiti ke? atau apa-apa saja perkara intim tentang anda berdua haruslah diluahkan untuk sama-sama memperbaiki dan memulihkan hubungan sekiranya ada silap di mana-mana.

3. Ubah rutin harian.

Rutin bangun pagi selepas subuh pergi kerja dan selepas maghrib balik kerja dan selepas isyak terus tidur mungkin perlu diubah. Gaya hidup yang terlalu "hectic" dan memenatkan membuatkan tubuh kurang segar dan hubungan yang tidak berkualiti.

Mungkin perlu balik kerja lebih awal. Elakkan overtime. Elakkan stress.

Kalau terpaksa naik keretapi berbanding memandu maka tukarlah asalkan dapat balik awal. Lepas tu kalau biasa makan malam jam 8.30 atau 9.00 malam tukarlah kepada lebih awal antara jam 6.30-7.30 malam.

4. Ubah cara pemakanan

Kurangkan makan nasi di waktu malam dan tukarlah kepada makanan lain. Banyakkan sayuran dan buah-buahan. Nasi 3 kali sehari dengan kuantiti oralng Malaysia pasti menambah berat badan dan menjadi punca penyakit.

Cuba turunkan berat badan sedikit. Dalam kes saya, 7 kilo saya kurangkan dalam masa setahun bagi mendapatkan berat yang ideal.

5. Cuba bersenam.

Dalam seminggu, cubalah bersenam dua atau tiga kali sekitar 30 minit setiap kali. Kalau tak boleh pada hari biasa, buat pada hujung minggu.

Paling mudah kalau tak nak bersenam, berjalanlah.

Pergi kerja parking jauh sikit dari depan pintu pejabat. Bila keluar dating atau ke kedai, parking dan berjalanlah sejauh mungkin.

Elakkan parking dekat dengan pintu, elakkan naik eskalator atau lif. Namun kalau dapat bersenam dengan betul adalah lebih baik.

6. Banyakkan masa bersama dan saling membantu.

Suami jangan asyik lepak mamak malam-malam. mentang-mentang takde anak, rasa bosan lalu keluar lepak dengan kawan-kawan.

Tinggalah isteri sorang-sorang kat rumah. Duduk di rumah bersama isteri, bantu kerja-kerja rumah. Tolong cuci pinggan ke, tolong vakum karpet ke, tolong lipat baju ke dan sabagainya.

Isteri kalau dia gembira, beban kerja kurang di punya hormon lain sikit. Jadi sentiasalah gembirakan isteri dengan mengurangi beban kerja di rumah dan layan isteri macam anak raja.

Isteri pun sama juga, layan suami "first class" jugak lah.

Jangan asyik dengan telefon masing-masing.

7. Bulan madu.

Sekali sekala, check-in di hotel.

Tak perlu yang mewah, asalkan yang selesa dan menjimatkan. Pergilah yang paling dekat tak perlu jauh-jauh.

Kat hotel ni mood dia lain sikit dari kat rumah.

Jangan kedekut nak habiskan RM200 untuk semalam sebulan sekali.

8. Banyakkan bersedekah.

Bersedekah ni sangat power. Amalkanlah selalu dan setiap kali bersedakah doakanlah semoga dipermudahkan urusan dan kehidupan orang yang kita sedekahkan tadi mudah-mudahan kita juga diberikan kemudahan dan dipermudahkan urusan untuk mendapat cahayamata.

9. Berdoa dan bertawakkallah.

Sentiasa berdoa tak kira di mana sahaja.

Tak semestinya ketika selepas solat. Nampak anak-anak orang kita pun berdoalah agar dikurniakan anak juga. Tengok kanak-kanak kat tv pun berdoalah agar dikurniakan anak yang secantik dan secomel macam tu.

Dah buat semua langkah di atas maka bertawakkallah.

--------------------------------------------------

Itu sahaja yang kami lakukan. Tak perlu keluar modal banyak pun.

Amalkan sahaja dalam masa 6-12 bulan maka perubahan ketara akan berlaku terhadap tahap kesihatan dan juga kebahagiaan.

Alhamdulillah menjelang 9 tahun lebih usia perkahwinan, saya dikhabarkan dengan berita yang paling gembira di dalam hidup saya apabila isteri saya disahkan mengandung.

Januari 2014, Khaleef dilahirkan di Markus Krankenhaus, Frankfurt Germany.

Selang 23 bulan kemudian Khaleel pula dilahirkan di Hospital Putrajaya.

Selang  24 bulan kemudian Khaleed pula dilahirkan pada tarikh yang sama dan di hospital yang sama.

Alhamdulillah.

Jadi, cubalah, manalah tahu kot-kot ada rezeki.

Ingatlah.

Allah suka hambanya yang meminta dan berusaha. Bukannya hanya menadah tangan berdoa semata-mata lalu dilepaskan kepada takdir. Bukan begitu.

Berusaha dan berdoalah.

Namun ingatlah hanya yang Allah yang maha mengetahui.

Sudah tentu ada sebabnya kenapa anda belum dikurniakan cahayamata.Setiap kejadian atau ujian pasti ada hikmah disebaliknya.

Jangan sedih-sedih.

Saya doakan kepada semua suami isteri yang masih belum dikurniakan cahayamata agar mendapat zuriat yang dinantikan secepat mungkin.

Amin Ya Robbal Al Amin.

Semoga perkongsian pengalaman saya ini sedikit sebanyak membantu anda.

InshaAllah.

KHAIRUL ABDULLAH
#diariseorangsuperdaddy

No comments:

Post a Comment