Tuesday, 23 October 2018

Ibu Tunggal, Ibu Berdikari

Tek : Anys Idayu Zakaria

Jika kita belum lalui apa yang orang lain telah lalui, usah dengan mudah berkata kita mampu untuk hadapi jika situasi itu terjadi pada diri. Mungkin nampak sama, tetapi yang pasti ujiannya berbeza-beza.

Betullah sebenarnya apa yang kita fikir, terkadang itulah yang akan dizahirkan melalui percakapan, perbuatan, atau tanggapan orang lain terhadap kita.

Walaupun memang betul gelaran wanita yang sudah bercerai, orang lebih senang panggil "janda", tapi aku sendiri telah semat dalam hati jangan guna gelaran tersebut. Kerana aku tahu satu masa gelaran itu pasti akan memberi kita satu perasaan rendah diri, rasa tersisih. Aku tak nak sesuatu yang tak baik terjadi pada aku, hanya kerana status itu. Biarlah orang memandang kerana kebaikan kita. Bukan orang pandang kerana gelaran yang sedang kita bawa.

Seorang teman pernah bercerita, kerana tidak tahan dengan masalah yang dihadapi, dia seperti merelakan perpisahan. Dan sanggup lagi memegang status janda itu.

Aku hanya mampu nasihat, cari jalan berdamai, berusaha sehabisnya hingga buntu temui jalan penyelesaian. Dan perpisahan itu jalan terakhir yang perlu dilakukan.

Wanita yang membawa status janda ini, walau kita buat kebaikan ada ketika orang tetap pandang sinis. Orang tetap akan anggap kita penyebab segalanya.

Dan kerana aku sendiri sudah semat dalam hati, tak suka dengar gelaran itu alhamdulillah Tuhan jaga aku dari melalui sesuatu yang tidak sepatutnya atau yang pernah dilalui oleh kebanyakkan dari mereka yang bergelar janda.

Hati aku lebih tenang dan suka dengar bila wanita yang bercerai ini disebut "ibu tunggal, atau ibu berdikari." Kerana kita mampu berdiri sendiri, kuatnya hati dan emosi kita untuk menghadapi saat perpisahan, dan bangkit semula membina kehidupan yang pernah musnah satu masa dulu.

Semoga kalian di luar sana sama-sama kuat membina kehidupan. Tak mudah menyerah kalah. Sabar dengan dugaan. Dan aku doakan semoga satu hari nanti semua kepahitan yang dilalui Tuhan akan gantikan dengan kemanisan umpama manisnya madu, cantiknya secantik warna pelangi yang menghiasi langit selepas mendung dan hujan berlalu pergi.

No comments:

Post a Comment