Friday, 29 September 2017

Kisah Pengajian

Tek : Anys Idayu Zakaria

Semalam aku janji nak tulis kisah pengajian aku selama 5 tahun setengah. Bermula akhir 2011 dan tamat Jun 2017. Memang banyak kisah suka duka. Seronok sebenarnya bergelar pelajar separuh masa ni. Sibuk terkejar kerja hakiki setiap hari. Hujung minggu pula abiskan masa ke kelas. Siapkan tugasan, peperiksaan. Dari banyak yang manis, yang pahitlah paling aku kenang sekali.

Pernah satu ketika, semester baru bermula hari tersebut. Aku tak dibenarkan ke kelas kerana ketika tu dia sedang marah-marah, aku tak mampu sediakan duit yang dimintanya. Bukan setakat kena marah, aku siap dapat habuan lebam di hujung mata sampai senget cermin mata yang aku pakai. Mahu tak menangis. Dengan sakitnya tambah kena ponteng kelas pertama pulak. Aku dah la jenis yang tak pernah ponteng kelas. Ralat usah ceritalah sepanjang semester tersebut, tambah pula tarikh tu jatuh pada hari kelahiran aku.

Semester ambil subjek akaun, ketika itulah kemuncak pergolakan rumahtangga aku. Pernah satu hari tu sehari sebelum kelas dia mengamuk sakan. Malam sebelum aku ke kelas, dia dah pesan aku tak boleh pergi kelas keesokkan harininya. Aku jenis yang agak lemah bila bab yang melibatkan akaun atau statistik. Jadi esoknya, diam-diam masa dia sedang tidur aku bersiap untuk ke kelas. Aku dan anak keluar perlahan-lahan. Hidupkan kereta tiba-tiba baru keluar pintu pagar kau tahu apa jadi. Tayar kereta bocor hinggakan terkeluar dari sportrim. Menangis aku. Nak tak nak aku terpaksa juga kejutkan dia. Aku merayu minta tolong tukarkan tayar. Aku tak nak ponteng kelas, sebab minggu seterusnya ada ujian. Rayuan dibiar sepi. Berbakul aku kena maki. Dan akhirnya subjek tersebut aku gagal. Terpaksa ulang sekali lagi.

Sejak peristiwa tu, setiap kali tiba hujung minggu pandailah aku ambil hati dia. Selalunya tak payah mana pun. Masa dia minta duit, aku kenalah bagi supaya aku dapat ke kelas. Memang peritlah kalau setiap minggu kena buat macam tu. Nak tak nak pejam mata je lah. Semata aku tak nak disuruh ponteng kelas.

Bukan semuanya pahit. Ada juga manisnya. Pernah aku buat tugasan berkumpulan. Kami perlu berlakon dan jadikan video. Kebetulan ketika tu aku sedang mengandungkan Raisha. Aku bawa kakak ikut sama ke tempat perbincangan. Dengan kakak sekali jadi pelakon dalam video tersebut. Dan akhirnya video kumpulan kami dipilih sebagai video terbaik. Siap jadi contoh untuk semester seterusnya subjek tersebut.

Orang kata nak berjaya bukan semudah makan kacang. Itulah pengorbanan yang terpaksa aku lalui. Bila berjaya habiskan pengajian, menanti hari konvokesyen penuh debaran. Memang tak sabar. Doakan semoga semuanya dipermudahkan.

No comments:

Post a Comment