Monday 10 August 2020

Pengalaman Bersalin Di Hospital Islam Az Zahrah Bangi

25 Jun 2020 - 8 Ogos 2020

Yeah! Genap 44 hari berpantang selepas melahirkan Baby Auliya Amani. Alhamdulillah. Syukur. 

Sebenarnya aku bersalin 2 minggu awal. Tarikh jangkaan awal Julai tapi atas sebab tertentu doktor nasihatkan untuk bersalin. 

Pertama kali juga kelahiran anak ini disambut di Hospital Swasta. Aku memilih Hospital Az-Zahra, Bangi (HIAZ).  Harini aku nak kongsi dengan kalian pengalaman bersalin di HIAZ. 

Masuk bulan ke-3 hamil, aku dah mula rasa sikit nebes nak bersalin. Haha awalkan dah timbul perasan tu. Fobia sebab pengalaman bersalin anak pertama, koyak hingga 4 degree. Kalau ikut pada tahapnya tu, tahap koyak paling rabak sekali la. Mulalah rasa nak bersalin secara pembedahan. 

Husband pula memang berhajat nak bawa aku ke hospital swasta. Dia dah mula minta aku survey mana² hospital pilihan. Tambah pula bila dengar pengalaman adik² aku yang mana isteri masing² bersalin waktu covid-19. Suami tak boleh teman isteri di hospital. Jadi pilihan terbaik pada husband, adalah bawa aku bersalin di hospital swasta, katanya. 

Lepas buat survey, aku memilih HIAZ. Nak bersalin di situ memerlukan kita buat pemeriksaan sekurangnya dua kali dengan doktor, untuk membolehkan kita dapat pakej bersalin yang ditawarkan. Kalau tak buat pemeriksaan rutin pun boleh tapi kita tak dapat harga pakej. 

So masuk je minggu 36 aku dah pergi ke HIAZ untuk pemeriksaan. Harga setiap kali pemeriksaan tu tak la mahal mana. Cajnya antara RM 120-150 sahaja. Tapi ni doktor tak bekalkan aku sebarang ubat atau vitamin. Sebab bila aku maklum makan vitamin Shaklee untuk tambah darah, doktor memang bagi aku sambung je makan vitamin tersebut. Tak perlu ambil vitamin hospital. 

Oh ye, doktor yang merawat aku ialah Doktor Mashitah. Baik. Lemah lembut orangnya. 

Pemeriksaan kali ke-3, minggu 37 5hari. Aku ke HIAZ sebelah petang. Bila buat pemeriksaan, blood pressure naik agak tinggi. Lepas nurse bagi makan pil dan rehat hampir sejam pun still masih tinggi. Tah kenapa tak turun. Penat la kot mungkin. Kejar² balik kerja terus ke hospital. 

Dr Mashitah cadangkan aku induce kerana tekanan darah tinggi yang naik mendadak. Tambah pula aku memang dah cukup bulan untuk bersalin. Itu adalah cara terbaik untuk yang ada tekanan darah tinggi bagi ibu mengandung. 

25 Jun 2020

8.30 pagi kami sampai HIAZ. Untuk aku mula check in di sana hinggalah selamat melahirkan baby. 

Jam 10 pagi. Bidan HIAZ datang melawat untuk masukkan ubat induce. Punya nebes sampai aku duk ulang² sakit dengan husband. Walhal tak usik apa pun lagi. 

Sambil berbual, sambil tangan bidan tu buat kerja. Eh eh tau² dah siap masuk ubat dan cek bukaan jalan. Tersengih² aku. Tak rasa pun. 

Lepas masuk ubat induce, aku dilarang bergerak selama sejam. Terbaring la di katil sambil borak dengan husband. Sambil berborak, mata husband melilau tengok peralatan yang ada. 

"Sayang tengok ni. LKL. Semua peralatan LKL ni." 

Punyalah teruja husband aku ni, sebabnya saham LKL yang dia pegang selama dua bulan lebih, dan beri profit pada beliau masa jual tu. 

"Hahaha.. ok la ni. Beli saham peralatan hospital, kemudian bayar bil hospital guna keuntungan jual saham tu." Dapat la baby merasa lahir di hospital private. Kah kah. Alhamdulillah syukur. 

Lepas 6 jam berlalu, Doktor Masyitah masuk dan cek bukaan jalan. Aku dimaklumkan akan masuk ke bilik bersalin selepas asar. 

Masa ni sakitnya tak boleh cakap lagi dah. Sakit dah mula rasa sejak jam 3 petang. Oleh kerana tak mampu bertahan, aku minta nurse cucuk ubat tahan sakit. Hilang jugalah kesakitan hampir sejam lebih. Tapi, mengantuknya jangan cakap laa oi. Kesan ubat. 

5 petang. Masuk bilik bersalin. Aku minta izin dengan husband nak tidur, risau takut tak da tenaga bila nak meneran. Dapatlah rehat mata dalam setengah jam. Bila ubat hilang kesannya, sakit melanda lagi. 

Setiap kali sakit, aku pegang tangan husband sekuatnya. Husband pesan jangan sebut sakit. Istighfar selawat dan genggam tangan dia. 

Lepas maghrib, bidan pecahkan air ketuban. Waktu ni, memang dah tak tahan sesangat. Bukaan jalan dah hampir 5cm. Pusing kiri, pusing kanan memang dah tak boleh. Tangan husband jadi mangsa genggaman aku. 

Setiap kali aku berkerut² dan bagitau bidan tak tahan, dia akan baca doa Nabi Yunus. Dia minta aku ikut baca sekali. 

Hampir jam 8 malam, bila mana aku bagitau dah tak tahan sesangat, bidan cek sekali lagi. Bukaan dah 7cm dan dah ada tanda² nak bersalin. 

Maka, bermulalah situasi genting tersebut. Dan alhamdulillah 8.24 malam lahirlah baby Amani. Doktor Masyitah pun gembira sebab aku tak da kesan koyak dan tak perlu jahit. Syukur sangat. 

Lega ya amat. Bila dah bersalin, hilang semua rasa. Syukur Allah bagi aku tenaga, walaupun sepanjang haritu aku memang tak makan sangat. 

Apa yang aku suka sangat² dengan HIAZ ni, doktor, bidan dan nurse semuanya baik² layanan mereka. Dan sepanjang proses bantu aku bersalin, mulut mereka tak lekang dari membaca Zikir Nabi Yunus

"Laa ila ha illa anta, subhaanaka innii, kuntu minazzolimin”

Setiap kali waktu solat, mereka akan bertanya dan mengingatkan pesakit untuk solat terlebih dahulu. 

Pakej pilihan juga bersesuaian dengan harganya. Tidaklah terlalu mahal. Dua hari satu malam di HIAZ, bersalin normal secara induce dengan harga pakej RM3300 kesemuanya. Husband pun sangat puas hati dengan layanan staf, nurse dan doktor yang menguruskan aku. 

Kalau ada yang berhasrat mahu bersalin di Hospital Swasta Islamik, HIAZ amat sesuai sekali. Boleh mula survey pakej pilihan yang ada. 




No comments:

Post a Comment