Showing posts with label Anak-anak. Show all posts
Showing posts with label Anak-anak. Show all posts

Thursday 7 February 2019

Kasih Sayang Seorang Bapa

Tek : Anys Idayu Zakaria 


Ombak dan pantai bukti kasih sayang seorang bapa. Walau terpisah setiap hari nama mereka akan sentiasa meniti di bibirnya. Setiap hari akan berusaha untuk video call anak-anak.
Tapi pertemuan kali ini mungkin sedikit mengecewakan. Anak-anak tak dapat mesra lebih. Dalam waktu yang agak singkat, dengan keadaan persekitaran dan emosi anak-anak yang perlukan lebih masa untuk mesra.
Aku meluah rasa pada suami, sedangkan anak-anak sedara aku yang baru sebulan dua berjumpa PakLongnya, bila sesekali berjumpa sibuk bertanya itu ini, minta dukung. Inikan pula anak-anaknya yang baru sebulan dua berpisah. Sepatutnya bila berjumpa daddy pasti teruja dan rindu.
Aku tanya, kenapa mereka agak berbeza. Seolah takut nak dekat. Lebih lagi bila nampak uminya ada di situ. Tapi bila uminya tiada, dengan aku pun mereka minta dukung, ditanya daddy ke mana. Suami hanya menjawab, pasti ada sesuatu yang umi mereka katakan hingga dia sendiri tak sempat bermesra dengan anak.
Satu yang aku belajar dari kisah hidup suami. Walau benci, marah macam mana sekalipun dengan bekas pasangan, usah tiup api kemarahan itu pada anak-anak. Usah sogok anak-anak dengan kata yang tidak baik tentang pasangan.
Cubalah sebaiknya rendahkan ego. Pujuk dan dorong kata baik kepada anak agar mereka rasa teruja berjumpa ibu atau ayah mereka. Bukannya ugutan, caci maki dan amarah.

Thursday 10 January 2019

Hargai Setiap masa Kita Dengan Anak

Tek : Anys Idayu Zakaria 


Suami kata untunglah yang ada anak dekat, boleh peluk dan main setiap masa.
Kalau anak dah jauh, dapat ingat kenangan, tengok gambar dan video je.
Aku yang dengar pun kadang terus insaf.
Hargai setiap apa yang ada dengan kita. Hargai dan habiskan masa bersama anak sebelum mereka membesar. Sebelum mereka jauh dari kita. Sebelum kita tak sempat merasai semuanya. 

Tuesday 13 November 2018

Akuan Sumpah Pengesahan Tanggungan Anak-anak

Tek : Anys Idayu Zakaria

Aduh, rasa lamanya tak update blog. Kadang nak update pun kena ikut mood juga. Padahal dalam kepala ni banyak je benda yang aku nak cerita. Dan nak simpan sebagai kenangan. Untuk apa-apa yang berlaku beberapa minggu sudah, kita ambil masa lain kongsi. 


Yang ini, kisah semalam. Selama ni aku tak pernah buat tuntutan penjagaan anak. Tapi bila untuk pendaftaran dan pertukaran sekolah baru ni, perlu ada surat yang menyatakan kita menjaga anak, terpaksa ke pesuruhjaya sumpah untuk buat surat pengesahan tanggungan.

Allah mudahkan jalan, ada rakan untuk aku rujuk. Kalau tak memang aku tak tahu pun. Confirm masa nak buat pendaftaran sekolah baru anak-anak nanti prosesnya akan jadi agak lambat.

Caj bayaran untuk sumpah RM4 jika ikut format. Jika nak mereka siapkan format beserta sumpah RM15. Jalan mudah untuk jimat, aku taip ikut format dan tinggal buat akuan sumpah. Hanya bayar RM4 je. 

Tapi semalam bila selesai satu surat, ada lagi rupanya yang aku tertinggal. Agaknya kelam kabut sangat duk fikir tak cukup hari dah nak settle semua, boleh pula aku terlupa nak buat 2 surat lagi. So maknanya semalam hanya selesai surat untuk kakak. Tinggal Raisha punya sahaja. Hopefully dapat settle harini, dan urusan pembatalan dan pertukaran sekolah mudah untuk aku selesaikan dalam minggu ni juga.

Tuesday 23 October 2018

Nak Jaga Anak Sendiri?

Tek : Anys Idayu Zakaria

Kadang aku ni pelik tau. Masa dah berpisah, sibuk biar anak tu bekas pasangan jaga. Langsung tak ada perasaan nak ambil tahu. Kau serah bulat-bulat pada bekas pasangan. Konon untuk balas dendam atau sebab marah berpisah.

Tapi, bila tahu bekas pasangan nak berkahwin semula, mulalah meroyan sibuk nak ambil anak. Nak ugut anak tak nak bagi kita jaga. Kononnya dia boleh jaga sendiri.

Kalau bersungguh sangat nak jaga, silalah ambil dengan baik. Tak perlu lepas tangan. Jangan kerana marah bekas pasangan kau jumpa jodoh cepat. Kau sibuk nak ambil anak semula. Nanti bukan anak yang dijaganya. Sibuk layan perasaan marah tu aje.

Patutnya bersyukurlah sebab ada orang yang tolong jaga anak nanti, bersama bekas pasangan tu. Sekurangnya dapat juga anak rasa kasih sayang dari ibu atau ayah barukan.

Tuesday 2 October 2018

Kinder Joy

Tek : Anys Idayu Zakaria

Semalam aku ada terbaca tentang perkongsian seorang bapa tentang coklat kinder joy yang memang menjadi kegilaan anak kecil. Baru aku tahu rupanya benda alah ni memang menjadi pujaan anak-anak. Hahaha aku siap komen, tengah belajar melarikan diri sendiri dan diri si anak untuk elak dari asyik beli benda tu je.

Kalau anak aku, diorang jarang minta beli benda ni. Sesekali mungkin kalau Raisha nak terbeli tu, ada jugalah aku beli. Kadang kalau aku tak nak bagi beli, aku berjaya juga dok pusingkan anak-anak untuk beli benda lain, daripada beli telur mahal yang amat tu.

Tapi berbeza pula dengan anak bakal pasangan aku ni. Si kecik ni memang agak fanatik dengan benda alah ni. Sampaikan kadangkala daddynya pening kepala fikir macam mana nak handle bila masuk kedai.

Pernah sekali masa berjalan bawa si kecil ni, si dia masuk Watson dan tiba-tiba aku masuk dan keluar semula pusing ikut jalan jauh. Bila ditanya, senang je jawapan aku, "banyak betul telur dalam Watson tu tadi. Sayang bawa lari jauh Maisarah takut dia menangis nak beli lagi benda tu. Siap umpan tengok benda lain. Nasib baik dia tak perasan." Selamba je dia jawab, fuh! Selamat. Nasib baik mama ada. Kalau tak pening juga ni.

Yang aku nak share sebenarnya, kita mak-mak ni ada kebolehan nak tune anak tu supaya tak ikut sangat kemahuan mereka. Kadang bila masuk kedai, nak beli benda mengarut macam ni terus tak jadi bila nampak muka mak macam singa. Si ayah memang berbeza sikit, pasti lemah dengan pujuk rayu anak. Makanya sudah tentu anak gembira bila ke kedai dengan ayah Dan bersedih hati bila ke kedai dengan mak.

Wednesday 19 September 2018

Tip Menimang Cahaya Mata

Untuk mereka yang masih belum menimang cahayamata, bacalah semoga bermanfaat buat anda.

Alkisahnya, ketika mula-mula kahwin saya pernah nyatakan pada isteri yang kalau ada rezeki saya nakkan anak yang ramai.

Namun selepas 2-3 tahun nampaknya harapan saya kabur dan terkubur.

Suatu hari isteri memberitahu yang minggu depan ada temujanji dengan doktor. Katanya doktor nak jumpa saya untuk buat pemeriksaan kesuburan.

Isteri dah buat terlebih dahulu dan katanya tiada masalah di sebelah isteri jadi doktor perlu periksa saya untuk memastikan sebabnya.

Pergh, dup dap dup dap, berdebar habaq hang.

Dua tiga malam tidur tak berapa nak nyenyak memikirkan nasib diri.

Mungkinkah saya puncanya?

Namun setelah ujian di buat maka keputusannya kami berdua sihat dan tiada masalah untuk mendapatkan zuriat, cuma belum ada rezeki lagi kata doktor.

Berbagai cara, usaha, tips yang dilaksanakan namun tidak berjaya.

Namun selepas berubah angin dan mengamalkan gaya hidup yang berbeza, ia memberikan perubahan yang ketara di dalam kesihatan kami suami isteri.

Kurang stress, lebih sihat, lebih bahagia.

Itu kuncinya.

Perubahan ketara tersebut telah meningkatkan kualiti perhubungan kami. Akhirnya isteri saya disahkan hamil anak pertama kami.

Tudiaa, dah dekat 10 tahun kahwin baru nak dapat anak. Gembira ya amat.

Jadi saya nak kongsi beberapa langkah dan tips bagi mereka yang dah menunggu lebih dari 5-6 tahun untuk cuba praktikkan.

Mana lah tahu mungkin ada rezeki.

1. Buat pemeriksaan doktor.

Ini paling penting. Suami dan isteri kena sama-sama pergi buat pemeriksaan. Orang lelaki jangan ego. Ada sperma bukanlah penentu, jadi pergilah berjumpa pakar.

Doktor akan ambil sampel dan buat "sperm count" dan tengok samada ia sihat dan berkualiti atau tidak. Sekiranya anda berdua tiada masalah maka ikuti langkah seterusnya.

2. Buat "post mortem".

Duduk berdua dengan isteri selepas "candle light dinner" dan berbincang tentang perkara ini. Tengok balik, ada tak silap di mana-mana.

"Timing" atau tarikh tak betul ke? Hubungan yang tidak berkualiti ke? atau apa-apa saja perkara intim tentang anda berdua haruslah diluahkan untuk sama-sama memperbaiki dan memulihkan hubungan sekiranya ada silap di mana-mana.

3. Ubah rutin harian.

Rutin bangun pagi selepas subuh pergi kerja dan selepas maghrib balik kerja dan selepas isyak terus tidur mungkin perlu diubah. Gaya hidup yang terlalu "hectic" dan memenatkan membuatkan tubuh kurang segar dan hubungan yang tidak berkualiti.

Mungkin perlu balik kerja lebih awal. Elakkan overtime. Elakkan stress.

Kalau terpaksa naik keretapi berbanding memandu maka tukarlah asalkan dapat balik awal. Lepas tu kalau biasa makan malam jam 8.30 atau 9.00 malam tukarlah kepada lebih awal antara jam 6.30-7.30 malam.

4. Ubah cara pemakanan

Kurangkan makan nasi di waktu malam dan tukarlah kepada makanan lain. Banyakkan sayuran dan buah-buahan. Nasi 3 kali sehari dengan kuantiti oralng Malaysia pasti menambah berat badan dan menjadi punca penyakit.

Cuba turunkan berat badan sedikit. Dalam kes saya, 7 kilo saya kurangkan dalam masa setahun bagi mendapatkan berat yang ideal.

5. Cuba bersenam.

Dalam seminggu, cubalah bersenam dua atau tiga kali sekitar 30 minit setiap kali. Kalau tak boleh pada hari biasa, buat pada hujung minggu.

Paling mudah kalau tak nak bersenam, berjalanlah.

Pergi kerja parking jauh sikit dari depan pintu pejabat. Bila keluar dating atau ke kedai, parking dan berjalanlah sejauh mungkin.

Elakkan parking dekat dengan pintu, elakkan naik eskalator atau lif. Namun kalau dapat bersenam dengan betul adalah lebih baik.

6. Banyakkan masa bersama dan saling membantu.

Suami jangan asyik lepak mamak malam-malam. mentang-mentang takde anak, rasa bosan lalu keluar lepak dengan kawan-kawan.

Tinggalah isteri sorang-sorang kat rumah. Duduk di rumah bersama isteri, bantu kerja-kerja rumah. Tolong cuci pinggan ke, tolong vakum karpet ke, tolong lipat baju ke dan sabagainya.

Isteri kalau dia gembira, beban kerja kurang di punya hormon lain sikit. Jadi sentiasalah gembirakan isteri dengan mengurangi beban kerja di rumah dan layan isteri macam anak raja.

Isteri pun sama juga, layan suami "first class" jugak lah.

Jangan asyik dengan telefon masing-masing.

7. Bulan madu.

Sekali sekala, check-in di hotel.

Tak perlu yang mewah, asalkan yang selesa dan menjimatkan. Pergilah yang paling dekat tak perlu jauh-jauh.

Kat hotel ni mood dia lain sikit dari kat rumah.

Jangan kedekut nak habiskan RM200 untuk semalam sebulan sekali.

8. Banyakkan bersedekah.

Bersedekah ni sangat power. Amalkanlah selalu dan setiap kali bersedakah doakanlah semoga dipermudahkan urusan dan kehidupan orang yang kita sedekahkan tadi mudah-mudahan kita juga diberikan kemudahan dan dipermudahkan urusan untuk mendapat cahayamata.

9. Berdoa dan bertawakkallah.

Sentiasa berdoa tak kira di mana sahaja.

Tak semestinya ketika selepas solat. Nampak anak-anak orang kita pun berdoalah agar dikurniakan anak juga. Tengok kanak-kanak kat tv pun berdoalah agar dikurniakan anak yang secantik dan secomel macam tu.

Dah buat semua langkah di atas maka bertawakkallah.

--------------------------------------------------

Itu sahaja yang kami lakukan. Tak perlu keluar modal banyak pun.

Amalkan sahaja dalam masa 6-12 bulan maka perubahan ketara akan berlaku terhadap tahap kesihatan dan juga kebahagiaan.

Alhamdulillah menjelang 9 tahun lebih usia perkahwinan, saya dikhabarkan dengan berita yang paling gembira di dalam hidup saya apabila isteri saya disahkan mengandung.

Januari 2014, Khaleef dilahirkan di Markus Krankenhaus, Frankfurt Germany.

Selang 23 bulan kemudian Khaleel pula dilahirkan di Hospital Putrajaya.

Selang  24 bulan kemudian Khaleed pula dilahirkan pada tarikh yang sama dan di hospital yang sama.

Alhamdulillah.

Jadi, cubalah, manalah tahu kot-kot ada rezeki.

Ingatlah.

Allah suka hambanya yang meminta dan berusaha. Bukannya hanya menadah tangan berdoa semata-mata lalu dilepaskan kepada takdir. Bukan begitu.

Berusaha dan berdoalah.

Namun ingatlah hanya yang Allah yang maha mengetahui.

Sudah tentu ada sebabnya kenapa anda belum dikurniakan cahayamata.Setiap kejadian atau ujian pasti ada hikmah disebaliknya.

Jangan sedih-sedih.

Saya doakan kepada semua suami isteri yang masih belum dikurniakan cahayamata agar mendapat zuriat yang dinantikan secepat mungkin.

Amin Ya Robbal Al Amin.

Semoga perkongsian pengalaman saya ini sedikit sebanyak membantu anda.

InshaAllah.

KHAIRUL ABDULLAH
#diariseorangsuperdaddy

Saturday 22 July 2017

Hubungan Anak dan Bapa

Tek : Anys Idayu Zakaria

“Anak mana Along. Tak ikut sekali?”

“hujung minggu biasa nenek diorang ambil”.

“Bagus macam tu. Biarlah kita suami isteri dah berpisah, tapi jangan sekali-kali putuskan hubungan antara anak dan bapa mereka. Dan juga hubungan antara cucu dan nenek atuk”.

Aku mengangguk-angguk tanda paham. Bila mendengar nasihat Makcik itu, yang aku panggil Mak Long.

Dulu bila ikut emosi aku kadang memang jarang sekali bagi anak-anak berjumpa dengan keluarga sebelah sana. Sampaikan anak-anak pun memang tak nak ke sana.

Bila ada perasaan benci dan tak suka, emosi negatif ini seperti turut tersalur pada anak. Jadinya aku terpaksa membuang semua emosi negatif. Tak guna pun nak tambah masalah dan sengketa. Semat sahaja dalam hati. Redha dan terima ketentuan yang sedang dilalui. Dan cuba bersikap positif.

Anak-anak tetap berhak untuk dapat kasih sayang bapa mereka dan juga hubungan mesra antara cucu dan nenek mereka.

Orang lain mungkin lain cara. Mungkin akan ada yang tak setuju dengan pendapat aku, walaupun hakikatnya kita sendiri tahu hukum memutuskan silaturrahim. Lagi-lagi yang ada pertalian darah.

Nasihat dan kata motivasi yang aku baca dulu aku sentiasa semat di hati, “Walau seburuk dan sejahat mana pun bekas pasangan kita, jangan sekali-kali putuskan hubungan anak dan bapa. Kerana suatu masa nanti mereka juga saling memerlukan antara satu sama lain”.