Showing posts with label catatan pengalaman. Show all posts
Showing posts with label catatan pengalaman. Show all posts

Tuesday 4 April 2017

Alhamdulillah Setahun Berlalu

Tek : Anys Idayu Zakaria 

Soalan : Kau rileks je kan, nampak macam tak da apa masalah. Tak terkesan langsung ke kisah lalu, perpisahan lepas.
.
Jawapan : Rileks je la. Orang tak tanya aku tak la sibuk nak bercerita. Setahun lebih dah berlalu, kalau terkesan pun perlu ke aku nak heboh satu dunia. Aku dah cukup terkesan 10 tahun lepas. Baik aku buang jauh-jauh, supaya tiada rasa dendam. Kalau ingat memang la beb, kau pun boleh jadi pendendam.

Ya, sudah masuk setahun sebulan perpisahan lepas. Dulu aku sudah puas menangis, kini aku mesti bangkit semula untuk menggantikan masa lepas. Aku masih ingat tarikh itu, 17 Februari sepatutnya hari terakhir aku ke Mahkamah Syariah untuk keputusan terakhir daripada hakim. Oleh kerana dia juga kononnya mahu ikut bersama, jadi aku turutkan juga. Kami pergi bersama ke Mahkamah dengan pelbagai alasan yang dia berikan untuk membolehkan dia ikut aku sekali. Berat sebenarnya hati aku, semacam boleh menjangka sesuatu. Memang betul. Tarikh 17 Februari itu bukan tarikh terakhir. Hari itu aku tak jadi ke Mahkamah dek kerana dia sudah pusing-pusing jalan yang membuatkan aku tak perlu hadir. Apa yang aku kesalkan dia mengamuk hingga merosakkan kereta. Sampai ke hari ini aku masih belum lagi menukar cermin kereta yang retak dek tumbukan dia. Bayangkan sudah hampir setahun lebih. Bukan kenangan itu yang aku perlukan, tapi aku sendiri perlu mencari wang untuk memperbaikinya. Dia sudah tentu tidak akan bertanggungjawab atas kerosakan yang sudah dilakukan. Sedangkan cermin sebelah penumpang yang dia pecahkan aku sendiri terpaksa ganti. Pintu kereta yang kemek ditendangnya juga aku masih belum betulkan. 

Allahu, jika diingat semula memang menyakitkan. Tapi itulah seperti yang aku katakan, tak guna berdendam. Kerana akan membuatkan aku sendiri dalam keadaan stress.

Dengan keadaan tersebut, sudah tentu aku puas menangis. Tarikh 24 Februari sekali lagi Peguam minta aku hadir. Beliau juga telah memberi beberapa solusi untuk membantu aku supaya mudah ke Mahkamah. Alhamdulillah 24 Februari Hakim menjatuhkan talak. Aku bersyukur sangat-sangat. Banyak yang aku telah lalui hinggakan tarikh tersebut tidak meninggalkan kesan sedih pada aku. 

Insya Allah nanti aku akan kongsi pengalaman menggunakan Peguam untuk kita menuntut perceraian melalui fasakh. Mungkin boleh jadi panduan kalian yang sedang mencarinya. 


Thursday 23 February 2017

Mohon Allah Kuatkan Hati

Tek : Anys Idayu Zakaria 

Bekerja, belajar, berbisnes, juga sebagai ibu dan bapa di rumah. Ada yang minta saya kongsi tips. 

Tiada tips yang hebat. Bila itu pilihan, ketentuan dan jalan yang dipilih tandanya kita sudah bersedia fizikal dan mental. Selebihnya mohon Allah kuatkan hati untuk menempuh hari-hari yang dilalui.

Adakala stress, terjatuh, terduduk, menangis sendiri. Simpan kemas tidak perlu tunjuk pada khalayak. Juga tidak perlu tunjuk kita hebat.

Sunday 19 February 2017

Alhamdulillah Syukur

Teks : Anys Idayu Zakaria

Alhamdulillah syukur, 15 Februari lalu genap usiaku 33 tahun. Tuhan masih beri peluang untuk aku meneruskan kehidupan di dunia fana ini. Berbaki usia menuju akhirat perlu terus memperbaiki diri ke arah kebaikan. Alhamdulillah. Terima kasih Allah.
Terharu sungguh dengan ucapan doa dan ingatan daripada rakan-rakan FB, keluarga Ma dan abah.

“Selamat hari lahir kak long mogax kak long sentiasa ceria dgn likux hidup sebagai ibu tunggal dgn kerenah anakx yg sedang membesar abh dan ma sentiasa doakan kak long supaya berjaya dlm hidup dan kerjaya kak long amin” (ucapan abah)

Abah, memang sentiasa ingat tarikh lahir anak-anak, termasuk cucu-cucu beliau. Jika zaman sekolah dulu, setiap kali menyambut hari lahir, pasti abah akan hulurkan duit sebanyak RM50, sebagai tanda hadiah.  Dan pastinya aku beli buku dan simpan duit tersebut. Kini, doa dan ingatan sangat-sangat bermakna untuk aku. 

Sebenarnya ia juga melewati setahun aku sendiri. Beberapa tahun lepas ketika menyambut ulangtahun kelahiran, kenangan pahit yang tak mungkin dilupakan. 2 tahun lepas 15 Feb, dia memang tak ingat tarikh ini. Tapi pada tarikh inilah dia sanggup menumbuk muka aku, sehingga senget cermin mataku. Huhu.  walaupun begitu, masih lagi aku pakai buat beberapa tempoh masa, kerana tiada wang lebih untuk membetulkannnya.  Lebih berguna untuk kegunaan lain.  Ah, banyak lagi kisahnya.  Biarlah aku simpan sendiri.  Kerana dengan luahan adakala membuatkan aku jadi geram dan sakit hati.

Untuk mengelakkan sakit hati, lebih baik tidak usah fikirkan hal-hal lampaukan.  Aku sudah ada kehidupan kini, yang perlu diteruskan bersama anak-anak.  Owh ya, rupanya kad hasil tulisan tangan sendiri yang kakak mahu berikan kepadaku.  Patutlah beriya-beriya kakak bertanya tarikh lahirku.  Mungkin takut tersalah. He he he.  Terima kasih kakak dan adik.

Alhamdulillah terima kasih Allah untuk kehidupan hari ini dan semalam. Semoga yang baik-baik sahaja menyinari hidupku. Semoga Engkau sentiasa permudahkan apa juga urusan kehidupanku.

Wednesday 15 February 2017

Berhati-hati Dengan Auto Debit Card

Teks : Anys Idayu Zakaria 


Tap tap tap, eh kenapa tak boleh buat pemindahan ni. Aku tersalah kira jumlah wang yang ada di akaun ke. Rasanye jumlah yang ada cukup, tapi kenapa boleh jadi kurang RM200. Fuh, cuak juga ni.  Tak pernah alami pengalaman seperti ini. Sudah. Ada kecurian dari akaun ke. Ok tenang tarik nafas. Tak perlu meroyan. Terus aku angkat telefon, hubungi CIMB. 

“Cik, saya nak minta tolong semak baki akaun saya. Macam ada kekurangan di situ.”

“RM200 dari akaun puan dipegang (dihold) untuk kegunaan petron.  Puan ada guna card ATM ke untuk isi minyak semalam”

“Ada cik.  Tapi tiada sebarang transaksi, kerana invalid.  Jadi saya guna wang tunai sahaja, tanpa ada sebarang pengeluaran dari CIMB”

“Baik puan.  Biasanya untuk penggunaan minyak seperti Petron,  CIMB akan pegang RM200. Katakan puan guna RM50 sahaja untuk minyak, apabila pihak Petron sudah buat potongan, jumlah RM150 bakinya akan kembali semula ke akaun pengguna.  Bagi kes puan, walaupun tiada sebarang transaksi, duitnya memang akan di “hold” dulu, selepas 3 hari bekerja baru akan masuk semula ke akaun bank puan.  Puan jangan risau.  Nanti 3 hari lagi puan semak semula samada sudah ada di akaun atau belum RM200 tersebut.”

“kalau begitu, saya tak perlu risau la kan.  Tak perlu buat apa-apa laporan betul?”

“Ya betul puan. Tak perlu risau.  Duit akan masuk semula ke akaun puan selepas 3 hari”

“Ok lah jika begitu, saya tunggu selepas 3 hari.  Nanti saya semak semula.  Terima kasih ya.”

Fuh legalah juga bila dengar penerangan pegawai bank itu.  Mahunya tak cuak beb. Duit tu. Lepas ni tak da la nak guna kad CIMB lagi secara autodebit.  Rela aku ambil tunai je.  Buatnya masa tu ada duit cukup-cukup aja dalam bank, mau menangis nanti bila nak guna. 

Wednesday 18 January 2017

Persediaan Wanita Kumpul Harta Sendiri

Sangat setuju kenyataan ini. Untuk gegadis, wanita-wanita kumpul harta rumah, kereta sendiri. Bila jadi sesuatu kita sudah ada harta untuk masa depan. Kita hanya merancang yang terbaik, tetapi perancangan Allah itu mengatasi segalanya. Kita sendiri tak dapat menjangka apa bakal terjadi dengan kehidupan akan datang. Jika sudah berkahwin, adakah kekal bahagia perkahwinan kita, adakah berlaku gelora di tengah jalan. Semua itu bukan dalam jangkaan kita. Jadi sememangnya persediaan ini amatlah diperlukan terutamanya untuk kita sebagai wanita. 

Alhamdulillah syukur sangat, sebelum ini hampir 10 tahun perkahwinan aku berjaya juga kumpul harta sendiri. Beli kereta sendiri, beli rumah sendiri. Kononnya rumah yang aku beli tu untuk membina keluarga, membesarkan anak-anak. Tapi kita hanya merancang, Allah lebih tahu apa yang terbaik. Hampir 3 tahun sahaja kami duduk di sana. Dan akhirnya bila perkahwinan aku berakhir dengan dia, aku tinggal dengan Ma dan Abah. Rumah tersebut aku sewakan. Syukur kerana semuanya aku beli dengan duit aku sendiri, tanpa gunakan nama dia atau perkongsian bersama. Sekurangnya aku tak perlulah turun naik mahkamah lagi semata-mata untuk buat tuntutan hak ini.

Hampir menitis air mata. Sebak sungguh rasa. Kerana di situ pengharapan aku untuk bersama membesarkan anak-anak. Tapi akhirnya punah. Mula-mula memang emosi tak berapa stabil, tapi dah lebih sebulan berlalu selepas rumah disewakan, pendapatan pun dapat daripada sewa rumah tersebut, aku jadi suka la kan. Alhamdulillah sekurangnya harta rumah tersebut dapat membantu untuk aku buat belanja anak-anak. 

Itulah ma dan abah pernah cakap sebelum ni. Walaupun perkahwinan aku berakhir, tapi sekurangnya aku perlu bersyukur, rezeki aku masih ada, aku ada kereta dan rumah sendiri, dan ada 2 orang anak. Pekerjaan pun ok, bisnes pun bertambah ok. 

Ya syukur dan redha itu yang paling utamanya. Alhamdulillah menghampiri setahun sudah perkahwinan ini berakhir. Semoga ada jodoh, yang Allah tentukan dengan yang lebih baik dari sebelumnya insya Allah.