Friday 7 July 2017

Tiada Peluang Kedua

Tek : Anys Idayu Zakaria

Pagi tadi dalam kereta, sambil memandu ke tempat kerja aku dengar SinarFm. Radio kegemaran aku. Kebetulan tajuk pagi ini, peluang kedua dan Dato Fadilah Kamsah sebagai tetamu jemputan.

Beliau ada menyebut, "mereka yang terlibat dengan masalah gejala sosial terutamanya dadah, jiwanya amat-amat sensitif. Mudah rapuh, tersentuh, mudah terpengaruh. Keluarga orang kuat yang perlu bagi sokongan dan peluang kedua".

Ya, aku akui kenyataan beliau ini. Mereka yang terlibat dengan dadah, jika kita tak kuat beri sokongan, mereka lagilah tak kuat hadapi kenyataan dan berdepan dengan dugaan hidup.

Aku tahu tu semua. Tapi dulu aku sudah puas beri peluang kedua, ketiga dan akhirnya aku kira dah tak da peluang lagi. Sehinggakan aku sendiri tak pernah bagi peluang pada diri aku. Agak tidak adil.

Aku terpaksa mengalah selepas hampir 10 tahun bertahan. Kalau nak kira oeluang aku rasa dah tak da rupa peluang lagi nak bagi kerana habis semua cara aku dah guna untuk bantu dia pulih dan tinggalkan dadah.

Aku sanggup bergadai wang ringgit semata untuk menjamin dia. Kononnya nak duduk jauh dari rakan-rakan. Takut terjebak lagi aku sanggup beli rumah agak jauh dari tempat aku bekerja. Aku hantar dia ke klinik C&C. Hantar balik ke kampung sebelah bapanya di Batam, juga tiada perubahan. Aku sudah habis daya.

Sehingga saat akhirnya, kononnya keluar C&C nak berubah tapi masih sama. Aku dan ibunya bukan tak pernah beri nasihat. Tapi umpama mencurah air daun keladi.

Hancur lebur hati aku. Sehinggakan saat-saat akhir aku mampu bertahan, aku tak mampu nak jawab soalan ibunya.

"Mama sayang abang lagi ke". Mungkin ibunya sudah nampak aku sudah puas berusaha.

Sungguh, aku tak mampu jawab soalan beliau. Kalau dulu, aku masih boleh bertahan, dengan jawapan. "Ya, insya Allah mesti boleh berubah."

Akhirnya tempoh aku bina, kekuatan kasih sayang aku bina aku sendiri yang meruntuhkan. Aku dah tak mampu untuk beri peluang lagi.

Alhamdulillah kini aku lebih gembira. Kerana yang penting aku tak perlu fikir lagi untuk sediakan duit setiap kali dia minta. Semata untuk membeli barang.

Sekarang, menurut ibunya dia masih sama seperti dulu. Masih mengamuk bila nak duit, kerana mahu membeli barang itu.

Jika dia sedih dengan apa yang berlaku pada aku sepatutnya dia berubah. Tapi nampaknya masih tiada perubahan. Hinggakan anak-anak pun takut nak dekat jika dia sedang marah.

No comments:

Post a Comment