Saturday 5 October 2019

Suami Mengamuk Isteri Lambat Masak

Sampai rumah bergegas aku masuk dapur keluarkan ayam, dan sayuran lain.  Sepantas kilat bersilatlah aku di dapur mahu sediakan makan malam. Beginilah rutin aku setiap petang. Tapi bukanlah langsung tak dapat cuti rehat memasak.

Selalunya suami aku pasti akan tanya, "Harini sayang nak masak apa? Nak rehat ke? kalau nak rehat kita boleh beli je." Seminggu pasti sehari atau dua akan ada Cuti Rehat dan gantung kuali. 

Aku pasti setiap wanita mahu berikan yang terbaik untuk suami dan keluarga mereka. Aku juga pasti walau penat macam mana pun isteri tetap akan cuba memasak hidangan simple, asalkan kenyang perut ahli keluarga.

Isteri tidaklah terlalu mengharap suami bantu mereka di dapur. Sebabnya ada sesetengah isteri yang lebih suka buat kerja sendiri bila di dapur. Tapi isteri pasti akan cukup gembira dan tersenyum riang bila suami ringan tulang bantu tolong jaga anak bila isteri memasak. Sekurangnya tidaklah isteri berkejar-kejaran. Tengah bersilat di dapur kemudian ke ruang tamu pula bertukar jadi hulk gara-gara anak-anak bergaduh berebut mainan. 

Malah lebih bagus dan seronok jika suami dengan penuh kesabaran menunggu isteri siap memasak. Tak perlu mengamuk kelaparan. Perut semua orang dalam rumah pasti lapar. Lebih lagi bila terbau makanan yang sedang dimasak.

Jika suami sendiri tak boleh tahan sabar hanya sebab lapar, kesianlah pada isteri yang barangkali di pejabat pun langsung tak sempat jamah makanan akibat terlalu sibuk. Isteri dan anak-anak juga pasti lapar.

Tak salah menunggu sekejap untuk makan bersama. Pasti nikmatnya akan lebih dirasai. 

Kalian rasa apa perasaan isteri bila suami mengamuk gara-gara isteri lambat siapkan hidangan makanan? Aku pasti emosi isteri akan terganggu. Percayalah, isteri akan memasak dengan penuh rasa tenang dan kasih sayang bila suami sabar menanti. Bila tiada pergaduhan atau drama sebabak yang berlaku. 

Memasak ni perlukan emosi yang sangat stabil dan tenang.  Kerana itulah walau simple macam mana pun masakan, ia akan jadi sedap kerana air tangan isteri yang ikhlas dan penuh rasa kasih sayang itu mengalir. 


Aku petik sedikit perkongsian daripada Ustaz Ebit Lew. Beliau kongsikan ada 3 petua yang boleh kita lakukan bersama suami isteri untuk sentiasa merasai hangatnya cinta dan kasih sayang iaitu :  

1. Makan bersama. Berdua-duaan. Saling suap-menyuap atau jika makan di luar boleh saja berkongsi makanan dan minuman. 

2. Solat bersama-sama. Sentiasa sebut nama pasangan dalam setiap doa. 

3. Buat Taklim dan majlis ilmu dalam rumah. Buat perkongsian ilmu dan taklim 5 minit setiap kali selepas solat. Kalau rasa tak sempat sangat buatkan 5 minit semasa dalam kereta, atau di mana sahaja keadaan sesuai ketika bersama. 

Buatlah dengan penuh rasa cinta dan kasih sayang. Semoga rasai cinta itu akan sentiasa mekar mewangi menghiasi hubungan kita. 

No comments:

Post a Comment