Friday 15 March 2019

Suami Culas beri Nafkah

Tek : 

"Saya tak kesah awak nak bagi nafkah atau tidak. Saya bekerja. Saya masih boleh dan mampu tanggung keluarga. Tapi tolong la, Jangan asyik nak minta duit saya. Jangan nak mengamuk marah-marah minta saya cukupkan duit yang awak minta.  Nah, ambillah ini je yang ada."

"Awak banyak duitkan. Bagi je la. Nanti saya kerja, saya ganti."

********************************************

"Tuan, saya mahu buat tuntutan fasakh daripada suami. Suami tak mahu ceraikan saya. Tapi saya sendiri sudah tak tahan untuk hidup bersama. Hampir 15 tahun saya mendirikan rumahtangga, tapi secara keseluruhannya sayalah yang keluarkan duit untuk belanja keluarga. Suami culas beri nafkah. Ada masa kerja, ada masa tidak bekerja. Jika bekerja pun, duit nafkah yang diberikan diminta semula untuk kegunaan dia sendiri. Saya dah tak tahan. Sebab tu saya datang untuk minta fasakh. Selama ni saya kesian pada anak-anak. Saya masih ada perasaan sayang. Sekarang saya sudah nekad mahu minta fasakh."


Kalian percaya atau tidak, situasi ini sering dialami oleh wanita bergelar isteri, pada suami yang tidak bertanggungjawab.

Susah senangnya suami, isteri tetap akan membantu. Walau diri sendiri tahu, nafkah itu tanggungjawab suami. Kadangkala tak cukup pun nak beli keperluan sendiri, keluarga diutamakan. Semua diperuntukkan untuk membantu suami.

Suami, tolong faham dan hadam. Kerja, dan selesaikanlah amanah serta tanggungjawab kalian.  Nafkah itu wajib diberikan untuk isteri dan anak-anak. Kami sebagai isteri tak pernah menyatakan tidak untuk bantu suami. Tapi janganlah sampai mempergunakan isteri. Isteri bekerja penat siang malam, buat kerja sampingan tapi suami bersenang lenang goyang kaki, duduk di rumah tanpa membantu kerja-kerja rumah malah sanggup lagi minta duit isteri untuk kegunaan sendiri.

Inikah yang dinamakan bahagia dalam cinta tanpa tanggungjawab?

Aku pasti ramai isteri tersepit sebenarnya. Seperti pepatah, "nak diluah mati mak, nak ditelah mati bapak." Dan akhirnya terpaksa luah dan telan semuanya sendirian. Kalian yang tidak berada dalam situasi yang mereka alami, pasti akan suarakan pendapat dengan luahan marah, caci maki. Tapi, percayalah kami sebenarnya tidak suka lalui dan hadapi semua ini.  Dek kerana kasih dan ikatan yang terikat menjadikan kami payah untuk buat keputusan. Pelbagai perkara perlu difikirkan sebelum kata nekad perpisahan itu diambil.

Untuk kalian yang hadapi situasi ini, fikirkanlah.

Sanggupkah kalian biarkan anak-anak melihat situasi tegang dalam rumahtangga. Situasi yang tiada rasa kasih sayang. Masing-masing hidup dalam dunia sendiri. Isteri malas untuk bercakap banyak kerana bimbang bertelingkah. Suami yang acuh tak acuh curah kasih sayang, belum kira tanggungjawab dan nafkah yang tidak diberikan.  Anak-anak takut dan trauma untuk berdamping mesra dengan bapa mereka.

Yang sebenar, jika diberi pilihan pasti kita mahu bertindak, mahu dilepaskan. Tapi hanya kerana kesian pada suami dan anak-anak kita sukar untuk bertindak dan tidak nampak jalan penyelesaian.  Jika kalian rasa perpisahan jalan terbaik. Bertindaklah. Buat keputusan setelah difikir masak-masak baik buruknya. Fikir masa hadapan. Bukan masa lalu, yang penuh dengan perasaan kasihan.




No comments:

Post a Comment